PUTRAJAYA: Indeks harga seunit simen meningkat 1.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 dan mencatatkan peningkatan dua bulan berturut-turut.
Selain simen, harga bahan binaan lain seperti batu bata dan dinding, bahan paip serta cat turut meningkat pada Disember 2022 berbanding bulan sebelumnya untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata arang batu digunakan sebagai sumber tenaga utama dalam proses pembakaran untuk penghasilan simen, justeru kenaikan harga komoditi itu menjadi salah satu punca kenaikan bahan utama pembinaan terbabit.
"Menurut International Energy Agency dalam laporan Coal Market 2022, pasaran arang batu pada tahun 2022 terkesan akibat aliran perdagangan yang terganggu, harga yang meningkat tinggi dan permintaan meningkat sebanyak 1.2 peratus, mencapai paras tertinggi dan melepasi lapan bilion tan buat kali pertama.
"Dengan permintaan dijangka kekal pada paras yang sama dalam beberapa tahun akan datang, harga arang batu akan terus meningkat pada 2023 dengan permintaan dijangka kekal tidak berubah pada paras itu sehingga 2025 apabila kemerosotan dalam pasaran matang diimbangi oleh permintaan kukuh yang berterusan dalam ekonomi sedang pesat membangun di negara-negara Asia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai laporan Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur Disember 2022, hari ini.
Penerbitan itu memaparkan indeks harga seunit bahan binaan utama.
Indeks Kos Binaan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan & kawasan dan indeks harga seunit bahan binaan utama.
Mohd Uzir berkata, indeks harga seunit besi pula mencatatkan sedikit penurunan iaitu 0.4 peratus berbanding November 2022.
"Penurunan indeks harga besi seiring dengan penurunan harga bijih besi dan besi utama dunia di peringkat global.
"Menurut Trading Economics, jangkaan harga besi akan terus menurun kerana penguncupan dan risiko kredit yang tinggi untuk sektor hartanah di China yang seterusnya akan mengurangkan permintaan untuk input pembinaan dan perindustrian yang menggunakan bahan ini.
"Namun begitu, masih terdapat ketidaktentuan pada harga pasaran yang mungkin akan memberi tekanan berterusan kepada harga besi," katanya.
Mohd Uzir berkata, perbandingan tahun ke tahun pula menyaksikan indeks harga seunit bahan binaan mencatatkan peningkatan antara 1.8 hingga 11.8 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.
"Indeks harga bagi seunit bagi besi dan keratan keluli & logam meningkat masing-masing 1.8 peratus dan 8.4 peratus bagi Disember 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya.
Beliau menambah, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 'high tensile deformed bars' adalah RM3,576 bagi setiap tan metrik, mencatatkan penurunan 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.
"Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatatkan sedikit peningkatan 0.3 peratus iaitu RM20.95 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM20.88 bagi setiap 50 kilogram pada November 2022.
"Manakala, purata harga batu baur dan pasir kekal tidak berubah iaitu masing-masing RM41.14 satu tan metrik dan RM36.30 satu tan metrik.
"Namun begitu, perbandingan tahunan pula mencatatkan purata harga harga besi dan simen meningkat masing-masing 10.2 peratus dan sembilan peratus.
"Selain itu, Indeks Kos Binaan (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.5 dan 1.7 peratus pada Disember 2022 berbanding pada bulan sebelumnya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments