KUALA LUMPUR 18 April - Harga hartanah termasuk rumah kediaman di Malaysia dijangka meningkat sedikit susulan peningkatan kepada kos pembinaan dan tekanan inflasi, kata MIDF Research.
Menurut firma penyelidikan itu, para pemaju dijangkakan memindahkan kos-kos yang lebih tinggi tersebut kepada para pembeli.
Katanya, data Indeks Harga Rumah (HPI), Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) juga meneruskan aliran menaik sejak 2022 selepas pembukaan semula ekonomi.
"Ambil perhatian bahawa HPI telah lemah pada tahun 2020 dan 2021 disebabkan oleh wabak COVID-19. HPI merekodkan pertumbuhan sejak suku keempat 2021 (4Q2021) dengan pemulihan kukuh dilihat pada 2022 berikutan pasaran hartanah yang bertambah baik di Malaysia.
"Sementara itu, HPI dalam 3Q2023 berada pada 219.4, lebih tinggi daripada 216.8 dalam 2QCY23 dan 218.0 dalam 3QCY22.
"Melangkah ke hadapan, kami melihat prospek harga hartanah di Malaysia kekal positif kerana prospek pasaran hartanah semakin baik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas MIDF Research, minat belian ke atas hartanah akan berkembang lebih kukuh pada 2024 memandangkan prospek sektor hartanah adalah positif.
Kata firma penyelidikan itu, jumlah permohonan pinjaman dalam dua bulan pertama 2024 adalah lebih tinggi pada RM91 bilion (+8%yoy) yang menunjukkan permintaan yang lebih kukuh untuk hartanah.
Bagaimanapun katanya, data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah adalah lebih rendah pada Februari 2024 pada RM40.1 bilion (-21%mom) disebabkan tempoh singkat pada bulan Februari.
"Secara kumulatif, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam dua bulan pertama pada 2024 berjumlah RM37.8 bilion (+14.2%yoy).
"Pinjaman diluluskan yang lebih tinggi menyokong jangkaan jualan baharu pemaju hartanah yang lebih baik," jelasnya.
Menurut MIDF Research, pada asas tahunan, permohonan pinjaman pada Februari 2024 adalah lebih rendah sebanyak 19% berbanding bulan sama tahun lalu selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 46% pada Januari 2024.
"Permohonan pinjaman merosot pada asas tahunan buat kali pertama dalam tempoh lapan bulan," ujarnya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Positif' dalam sektor hartanah kerana landskapnya bertambah baik dengan tinjauan Indeks Harga Rumah yang stabil, OPR tidak berubah pada 3% dan kediaman tidak terjual yang lebih baik.
Selain itu, kata MIDF Research, projek infrastruktur yang akan datang seperti RTS Johor Bahru-Singapura dan LRT Pulau Pinang akan menyokong sentimen pembelian hartanah di Malaysia.
"Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Kumpulan Mah Sing (BELI, TP: RM1.42) dan Matrix Concepts (BELI, TP: RM1.91).
"Kami suka Mah Sing kerana kepada pendedahannya kepada segmen kediaman mampu milik dan kehadiran yang semakin meningkat dalam segmen hartanah perindustrian. Selain itu, hartanah di Johor akan terus menyokong pertumbuhan jualan hartanahnya.
"Sementara itu, kami menyukai Matrix Concepts kerana ia prospek stabil yang dipacu perbandaran Sendayan yang memberi tumpuan kepada rumah mampu milik. Selain itu, pengembangan bank tanah di Labu akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan pembangunan hartanah Matrix Concepts," katanya.
Sumber: Dagang News
Harga rumah dijangka terus meningkat susulan kenaikan kos pembinaan, inflasi - MIDF Research
Comments