KUALA LUMPUR: Harga jualan purata (ASP) bagi simen pukal menyusut lima peratus bulan ke bulan kepada RM371 satu tan pada April.
Penganalisis RHB Investment Bank, Oong Chun Sung, berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan
Malaysia (DOSM), pengeluaran simen mencecah sejumlah 2.7 juta tan pada Mac, iaitu peningkatan daripada 2.5 juta tan pada Februari, dan melangkaui purata bulanan prapandemik iaitu sebanyak 1.3 juta tan.
"Walaupun kami berpendapat ASP simen yang tinggi ini tidak akan berterusan dalam jangka lebih panjang, perolehan pengeluar simen dapat disokong oleh jumlah jualan yang tinggi, diperkukuh oleh projek-projek pembinaan yang sedang dijalankan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bulan lalu, Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) turut mengambil inisiatif untuk menawarkan satu juta tan metrik simen pukal pada harga RM290 satu tan di bawah Inisiatif Skim Simen Rahmah untuk pemaju perumahan swasta mampu milik, berbanding harga pasaran pada masa itu iaitu RM410.
Penurunan sebanyak RM120 setiap tan metrik itu bersamaan insentif 29.3 peratus daripada pembekal simen.
Mengenai trend satu lagi bahan binaan iaitu aluminium, Chun Sung berkata meskipun syarikat peleburan di Eropah Barat berkemungkinan tidak akan pulih dalam jangka dekat akibat harga logam itu yang tidak menentu, bekalan kuasa tidak konsisten dan proses pembukaan semula operasi loji yang renyah, kekurangan pengeluaran dari Eropah tidak memberikan impak besar kerana sumbangannya kepada bekalan global adalah rendah iaitu kira-kira empat peratus.
Beliau berkata, perkembangan itu juga dapat disokong oleh pemulihan bekalan dari China kerana wilayah-wilayah barat daya di China seperti Huizhou, Sichuan, dan Guangzhou telah menyambung semula kegiatan peleburan, manakala wilayah Yunnan dijangka memulakan semula kegiatan peleburan apabila musim hujan tiba bulan depan.
"Kapasiti yang dijangka dari China mungkin menyebabkan lebihan aluminium untuk 2024 hingga 2025. Sebagai pengguna dan pengeluar aluminium terbesar dunia, tahap penggunaan logam perindustrian China masih kurang, dengan kegiatan pembinaan yang perlahan bulan ke bulan memburukkan lagi kekhuatiran mengenai prospek permintaan logam," katanya.
Chun Sung yang menghadiri Persidangan Logam Asia yang dianjurkan oleh London Metal Exchange (LME) pada 16 Mei lalu mengekalkan saranan 'wajaran tinggi' terhadap sektor bahan asas dengan pilihan utama saham ialah Press Metal.
"Kami mengambil pandangan berjagajaga terhadap pasaran logam, terutamanya aluminium, disebabkan oleh perubahan struktur dalam dinamik bekalan-permintaan
"Press Metal kekal sebagai pilihan utama kami kerana ia adalah proksi kepada syarikat peleburan aluminium yang melepaskan paras karbon rendah di rantau ASEAN, dan menerima manfaat daripada peralihan permintaan kepada syarikat peleburan Asia tatkala gangguan pengeluaran berlaku di Eropah," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments