top of page

Hala tuju lebuh raya bertol disemak semula


Kenderaan bertali arus menyebabkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan di sekitar Changkat Jering, hari ini - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hala tuju lebuh raya bertol sedang disemak semula dengan mengambil kira implikasi yang mungkin timbul susulan cadangan penghapusan tol lebuh raya di negara ini.


Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata perkara itu akan dibentangkan ke Kabinet untuk kelulusan Jemaah Menteri.


"Kerajaan sudah meneliti dan mengambil kira secara mendalam pelbagai faktor serta implikasi yang mungkin akan timbul akibat cadangan penghapusan tol lebuh raya di negara ini, terutama kesan faktor kewangan semasa yang dihadapi kerajaan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, hari ini.



Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kementerian giat menjalankan Kajian Keperluan Jalan Alternatif Lebuhraya Gombak-Bentong bagi mendapatkan penyelesaian untuk mengurangkan masalah kesesakan di laluan Kuala Lumpur-Karak.


Beliau berkata, penilaian akan menentukan sama ada jajaran jalan baharu atau menaik taraf jalan sedia ada diperlukan dengan mengambil kira pulangan kepada pelaksanaan cadangan projek, termasuk isu berkaitan impak alam sekitar dan sosial.


Mengenai Projek Lebuhraya Pan Borneo, Fadillah berkata, pelan mitigasi dan tindakan susulan berterusan sedang dilaksanakan bagi menambah baik kaedah pelaksanaan yang diputuskan sebelum ini.


Katanya, ia bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan projek itu sebagai pemangkin pembangunan sektor sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan.


"Status kemajuan fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sehingga Jun lalu adalah 32 peratus bagi 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan manakala tiga pakej kerja baharu.


"Satu pakej kerja membabitkan laluan dari Tawau ke Semporna ditamatkan kontrak dan kini sedang ditender dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.


"Ini menjadikan keseluruhan 15 pakej kerja komited akan diteruskan pelaksanaannya pada RMKe-11 (Rancangan Malaysia ke-11) dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.


"Pelaksanaan baki 20 pakej kerja Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan untuk RMKe-12," katanya.



31 views

Comments


bottom of page