KUALA LUMPUR 31 Okt - Haily Group Berhad memperoleh kontrak bernilai RM65 juta bagi pembinaan dan penyiapan projek perumahan di Tebrau, Johor.
Projek tersebut terdiri daripada 206 unit rumah teres dua tingkat dan satu pencawang kuasa.
Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya Haily Construction Sdn Bhd, yang telah menerima Surat Anugerah bagi projek itu daripada Akipro Architect Sdn Bhd, bagi pihak Austin Senibong Development Sdn Bhd.
Di bawah kontrak tersebut, 206 unit rumah teres dua tingkat itu dijangka siap pada 1 Feb 2025, kata Haily.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai berkata, projek ini sejajar dengan komitmen strategik Haily untuk menyampaikan pembangunan kediaman berkualiti di Johor, sebuah negeri yang terus membentangkan peluang pertumbuhan.
"Memandangkan sektor pembangunan hartanah Johor berkembang pesat dengan sokongan daripada inisiatif ekonomi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka memacu permintaan untuk hartanah kediaman dan komersial di Johor," katanya dalam satu kenyataan.
Ini merupakan projek pembinaan perumahan kelapan di Johor yang dimenangi Haily tahun ini di Johor Bahru, Kulai, Pulai, Kempas Baru dan Pontian, dan kemenangan kontrak kesembilannya untuk syarikat itu dalam tempoh yang sama.
Ia juga merupakan kontrak ketiganya daripada Austin Senibong, yang pertama ialah kontrak RM40.67 juta untuk membina pejabat kedai tiga tingkat yang dimenangi pada Disember 2021; dan satu lagi kontrak untuk membina 220 rumah teres dua tingkat dan satu pencawang elektrik dengan harga RM60 juta, dimenangi pada April tahun ini.
Sumber: Dagang News
Commentaires