SETIU - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) bakal berkolaboratif bersama beberapa agensi kerajaan untuk menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf dalam membangunkan projek perumahan.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan bangunan menggunakan teknologi IBS berasaskan kenaf lebih jimat dan cepat, malah pemasangan struktur di tapak pembinaannya juga lebih bersih dan selamat.
"Pulang daripada lawatan di Terengganu dan Kelantan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan merangka satu pelan pemasaran yang komprehensif untuk memperkasakan industri kenaf negara, kenal pasti pasaran, pengeluaran serta potensi dan manfaatnya untuk rakyat.
"Saya lihat penggunaan teknologi IBS kenaf sangat sesuai untuk projek perumahan kuaters anggota tentera, polis dan projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemprosesan dan pengeluaran produk kenaf dekat Saujana di sini pada Isnin.
Pusat pemprosesan bernilai RM25 juta yang siap pada tahun 2019 itu mampu mengeluarkan 2,400 tan produk non woven thermobonding kenaf setahun dengan nilai RM16 juta untuk pasaran eksport dan domestik.
Zuraida yang berpeluang melawat rumah contoh menggunakan teknologi IBS berasaskan kenaf berhampiran pusat pemprosesan itu juga yakin lebih banyak pekebun kenaf mendapat manfaat secara langsung sekiranya kerajaan bersetuju membina projek perumahan menggunakan teknologi baharu tersebut.
"Secara asasnya, satu hektar tanaman kenaf boleh menghasilkan jumlah mencukupi untuk pembinaan dua unit rumah.
"Di Malaysia, kita ada 2,000 hektar tanaman kenaf ketika ini yang boleh memenuhi permintaan untuk 4,000 unit rumah.
"Mungkin boleh buat satu projek perintis dahulu bersama KPKT dan pada masa sama KPPK khususnya LKNT akan perluaskan lagi kempen penanaman kenaf dalam kalangan pekebun kecil, mungkin 10,000 atau 20,000 hektar lagi dalam masa lima tahun, itu perlu diteliti, dikaji dan diperincikan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar individu yang memiliki tanah kebun persendirian merebut peluang untuk menanam kenaf kerana ia mempunyai potensi cerah dalam pasaran.
"LKTN menyediakan insentif penanaman kenaf yang merangkumi bantuan bekalan biji benih, baja, input pertanian dan perkhidmatan mekanisasi. Setakat ini, 1,000 pekebun telah menikmati insentif itu," kata Zuraida. - Bernama
Sumber: Sinar Harian
Comments