GUA MUSANG – Perantau dari ibu negara disaran menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) atau Lebuh Raya Timur Barat untuk masuk ke Kelantan bagi mengelakkan pertambahan kenderaan di pintu masuk Gua Musang menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mengambil maklum kesesakan di Gua Musang ketika ini susulan penutupan jalan bagi tujuan kerja-kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) pakej 3B dan 3C.
Katanya, sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang telah diarahkan untuk mencari kaedah termasuk mewujudkan laluan alternatif lain untuk mengelak kesesakan lalu lintas.
“Bagi mengelak kesesakan, pengguna jalan raya boleh pulang ke Kelantan menggunakan LPT melalui Terengganu atau Lebuh Raya Timur Barat melalui jalan di Gerik, Perak.
“Penggunaan dua laluan ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan akibat projek LTU di Gua Musang. Kita juga sedang meneliti dua laluan alternatif lain di daerah ini yang mungkin diketahui oleh penduduk tempatan sekali gus dapat melancarkan perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Penyampaian Rezeki Ramadan dan Majlis Iftar Ramadan bersama warga IPD Gua Musang di Dewan Tanjung IPD Gua Musang di sini semalam.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, beliau sudah meminta Ketua Polis Daerah dan Bahagian Trafik IPD Gua Musang mencari kaedah atau laluan alternatif yang lain untuk melicinkan lagi perjalanan pengguna jalan raya.
Menurutnya, ia merupakan langkah persediaan pihak polis bagi menghadapi pertambahan kenderaan beberapa hari sebelum Syawal.
“Setakat ini, saya tidak dapat menjangka jumlah kenderaan yang akan masuk ke Kelantan, namun yang pastinya lebih ramai akan pulang sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.
“Kita berharap pengguna jalan raya bersabar dengan projek yang sedang berjalan di Gua Musang. Dalam usaha untuk mendapat kemudahan yang selesa, ia memerlukan sedikit pengorbanan,” katanya.
Sumber: Kosmo!
Comments