KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd, merancang untuk lebih agresif melancarkan projek hartanah baharu pada tahun depan dengan sasaran antara RM700 juta hingga RM800 juta nilai pembangunan kasar (GDV), sekali ganda daripada sekarang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Bhd, Datuk Seri FD Iskandar, berkata ketika ini anggaran pelancaran projek hartanah syarikat itu adalah sekitar RM400 juta GDV setahun.
Namun katanya, pada tahun ini Glomac bercadang untuk melancarkan projek dengan GDV di antara RM700 juta atau sekali ganda daripada sekarang.
"Kami mempunyai simpanan tanah lebih 242.81 hektar (600 ekar) dengan GDV lebih RM7 bilion. Kalau kita masih lancarkan projek dengan GDV RM400 juta, akan memerlukan 17,18 tahun untuk dihabiskan.
"Tetapi kalau dengan pelancaran RM700-RM800 juta GDV, mungkin kurang dari 10 tahun sudah boleh habis sepenuhnya. Jadi saya mahu percepatkan pelancaran hartanah kami selepas ini dan tidak mahu menunggu tempoh yang terlalu lama untuk menghabiskannya.
"Sejak 2018, mungkin ada yang perasan Glomac agak perlahan dan tidak berapa menonjol dalam pasaran hartanah, tetapi ia akan berubah tahun depan. Glomac akan bangkit daripada lena dan menjadi lebih agresif," katanya kepada BH ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Daripada 242.81 hektar tanah milik Glomac, kira-kira 161.87 hektar terletak di Lembah Klang. Plot terbesar di Lembah Klang iaitu kira-kira 40.47 hektar terletak di Puchong, manakala selebihnya berada di Rawang, Sungai Buloh, dan Subang.
Di Johor, Glomac mempunyai kira-kira 66.77 hektar tanah di Kulai serta Ulu Tiram.
Mengulas mengenai penerbitan sukuk bernilai RM3 bilion oleh syarikat itu, FD Iskandar berkata, ia dibuat kerana beliau mahu bersedia untuk merebut peluang yang datang dengan segera dan tidak mahu terlepas lagi seperti yang pernah dialaminya sebelum ini.
"Ramai orang bertanya mengapa syarikat bersaiz pertengahan seperti Glomac mahu menerbitkan sukuk sebesar RM3 bilion. Ini kerana saya mahu terus sedia untuk gapai peluang yang datang dengan segera.
"Sebelum ini saya pernah terlepas dua peluang kerana ketiadaan dana mencukupi ketika itu, jadi kali ini saya tidak mahu ia berulang lagi," katanya.
Katanya, menerusi penerbitan sukuk itu, dianggarkan antara 30 peratus dan 35 peratus daripada terbitan ini akan digunakan untuk mengurangkan hutang bagi menjimatkan kos pembiayaan.
Selebihnya 60 peratus hingga 65 peratus akan digunakan untuk memperoleh tanah di kawasan strategik bagi meningkatkan potensi GDV tanah Glomac, tambahnya.
Setakat 31 Julai 2024, kumpulan mempunyai nisbah keberhutangan bersih yang tidak ketara sebanyak 0.06 kali berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1.25 bilion, manakala tunai dan deposit berjumlah RM292.4 juta berbanding pinjaman jangka pendek sebanyak RM237 juta.
Glomac merancang untuk melancarkan hartanah bernilai RM459 juta dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 April 2025. Ini termasuk rumah dua tingkat di pembangunan perbandaran yang telah ditetapkan seperti Serai@SBCR di Sungai Buloh, Saujana KLIA, dan Saujana Jaya di Kulai.
Sumber: Berita Harian
Comments