top of page

Gira cadang tubuh Majlis Daerah Selangau



SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang (gambar), mencadangkan penubuhan Majlis Daerah Selangau (SDC) sebagai langkah strategik untuk mempercepatkan pembangunan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk kawasan tersebut.


Menurut Gira, kawasan Selangau yang luas kini berada di bawah pengurusan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), yang meliputi keluasan sekitar 6,000 kilometer persegi.


“Penubuhan SDC adalah langkah tepat pada masanya dan bakal merangkumi kawasan seperti Siong, Sekuau, Batang Oya, hingga Selangau ke Arip,” katanya dalam Persidangan DUN Sarawak pada Jumaat.


Beliau turut mencadangkan agar kawasan DUN Tamin yang luas dibahagikan kepada beberapa kerusi tambahan.


Menurutnya, langkah itu akan membolehkan lebih banyak peruntukan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP), dan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) disalurkan untuk mempercepatkan pembangunan.


“Pembahagian kerusi tambahan ini akan memastikan lebih banyak sumber diperuntukkan untuk kawasan yang luas ini,” ujarnya sambil menyeru perkhidmatan bas antara Sibu dan Selangau dipulihkan untuk memudahkan pergerakan penduduk luar bandar.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan negeri atas kelulusan beberapa projek jalan raya utama di kawasan Tamin termasuk Jalan Ng Pakoh/Rh Mukau, Rantau Lumban, Ulu Oya (RM59.5 juta), Jalan Ng Luam/Ng Woh/Rh Pengarah, Ulu Mukah (RM84 juta), Jalan Rh Enjah ke Rh Meroda, Ulu Bunau, Selangau (RM23 juta) dab Jalan Akses Baru dari Lebuhraya Pan Borneo ke Bandar Selangau (RM7 juta).


Selain itu, Gira mencadangkan beberapa projek lain, termasuk menaik taraf Jalan Ng Tajam Batang Oya, pembinaan jalan baharu ke Ulu Selangau, menaik taraf Jalan Sepudun Balingian, dan pembinaan jambatan gantung ke Sekolah Kebangsaan (SK) St Mark, Selangau.


Beliau menegaskan bahawa kapasiti bekalan air semasa di kawasan Selangau tidak lagi mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk, terutamanya dengan pembangunan pesat seperti pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau dan kawasan penternakan babi baharu.


“Projek Bekalan Air Stapang Sekuau dan Bekalan Air Selangau telah diluluskan, namun sehingga kini tiada kemajuan fizikal yang ketara. Saya mencadangkan agar dana disalurkan terus kepada kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan projek ini,” katanya.


Gira turut mencadangkan penubuhan Anjung Usahawan Selangau untuk merangsang ekonomi tempatan dan menggesa bank komersial membuka cawangan di Selangau bagi memudahkan urusan kewangan penduduk.


Dalam isu telekomunikasi, beliau menghargai usaha kerajaan membina lebih banyak menara telekomunikasi di kawasan Tamin.


Namun, beliau mengakui masih terdapat isu internet perlahan dan beberapa menara belum beroperasi sepenuhnya.


Gira juga berharap agar projek Tanggungjawab Sosial Korporat(CSR) untuk meningkatkan fasiliti di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh yang semakin usang dapat dipercepatkan kerana sehingga kini tiada sebarang kemajuan selepas majlis pecah tanah dilakukan pada Oktober 2018.


Dalam masa sama beliau turut menuntut status dua buah sekolah yang telah diluluskan untuk dipindahkan kerana terdedah kepada banjir, iaitu SK Selangau dan SK Ng Kua.


Selain itu, beliau juga memohon agar surat pelantikan rasmi dikeluarkan kepada rumah panjang yang belum mempunyai tuai rumah rasmi untuk memudahkan mereka menjalankan tugas.


Katanya, terdapat kira-kira 300 rumah panjang di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Selangau, di mana sekitar 275 tuai rumah telah menerima surat pelantikan rasmi manakala 25 tuai rumah masih belum menerima surat tersebut.


Comentários


bottom of page