top of page

GEV, PLUS bangunkan hab cas kenderaan elektrik di lebuh raya


GEV, PLUS bangunkan hab cas kenderaan elektrik di lebuh raya
Gambar hiasan: Hab pengecas arus terus hyper kuasa (DC)

GEV, PLUS bangunkan hab cas kenderaan elektrik di lebuh raya

KUALA LUMPUR: Yinson GreenTech (YGT), penyedia penyelesaian teknologi hijau menerusi syarikat usaha samanya, Green EV Charge Sdn Bhd (GEV), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) untuk bersama-sama membangunkan hab pengecas arus terus hyper kuasa (DC) di Lebuhraya PLUS.


Hab pengecasan pantas itu juga akan menggabungkan mobiliti peruncitan termasuk kedai makanan dan minuman serta kemudahan lain bersama pelbagai pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) sebagai pengenalan kepada konsep baharu pengecasan EV kepada rakyat Malaysia.


MoU itu akan mewujudkan hubungan kerja yang kukuh antara YGT dan PLUS dan menubuhkan mekanisme berkesan untuk pelaksanaan projek yang berkesan bersama-sama.


Hab pengecas pantas pertama di Malaysia akan terletak di Kawasan Rehat dan Perkhidmatan (RSA) PLUS Seremban (Arah Selatan) yang menampilkan lapan ruang pengecasan dan setiap satu dengan output kuasa sehingga 350kW serta berkemampuan mengecas sepenuhnya EV dalam masa 20 minit.


Gabungan usaha itu menyokong negara dalam menyediakan infrastruktur EV yang sejajar dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).


Kedua-dua pihak juga akan bekerja secara kolektif untuk membangunkan idea baharu yang akan memenuhi pertumbuhan pasaran EV, seperti hab pengecasan pantas pertama di Malaysia dengan teknologi pengimbangan beban dinamik atau penyelesaian pengecasan DC tahap-3 yang membolehkan kuasa pengecasan optimum dan cekap di kalangan stesen pengecasan.


Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng, berkata perkongsian itu merangkumi komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mengembangkan penyelesaian pelengkap dan langkah menarik ke arah matlamat bersama kami untuk mempercepatkan elektrifikasi ekosistem marin, mobiliti dan infrastruktur di Malaysia selaras dengan matlamat negara untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.


Tingkat produk perkhidmatan

"Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dan akan memaksimumkan faedah bersama, mengembangkan dan meningkatkan produk serta perkhidmatan, serta inovasi strategik," katanya pada majlis pemeteraian MoU YGT-PLUS di Kuala Lumpur, semalam.


GEV ialah usaha sama antara YGT dan GreenTech Malaysia Alliances Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh di bawah Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, agensi kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar & Perubahan Iklim.


Setakat ini, YGT telah menaik taraf satu titik pengecasan EV arus ganti (AC) kepada pengecas pantas arus terus (DCFC) di Restoran Jambatan Ayer Keroh (Arah Selatan).


Melalui MoU itu, YGT akan menaik taraf dan menyediakan lima pengecas DCFC lagi di RSA di Tapah (Arah Selatan), Dengkil (Arah Selatan), Gunung Semanggol (Arah Utara), Pagoh (Arah Selatan) dan Seremban (arah utara).


Sementara itu, Nik Airina berkata, kerjasama itu membolehkan PLUS yang mengendalikan rangkaian lebuh raya yang menjangkau lebih 1,130 kilometer (km) mencapai sasaran mewujudkan 100 titik pengecasan DCFC menjelang 2025 menerusi sinergi dengan Kementerian Kerja Raya dan LLM.


"Sebagai tulang belakang infrastruktur lebuh raya Negara, PLUS memainkan peranan penting dalam membentuk dan menyumbang kepada pembangunan mampan negara.


"Setakat 2022, 20 titik pengecas telah diwujudkan dan tahun ini sahaja, terdapat dua puluh lagi tempat caj yang tersedia di sepanjang lebuh raya PLUS.


"Inisiatif kerjasama ini akan menggalakkan amalan mobiliti rendah karbon di kalangan rakyat Malaysia, mempercepatkan penggunaan EV negara dan menjadi pemangkin ke arah mencapai aspirasi neutral karbon 2050 kerajaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


GEV, PLUS bangunkan hab cas kenderaan elektrik di lebuh raya


Comments


bottom of page