top of page

Gergasi hartanah China fail kebankrapan


Gergasi hartanah China fail kebankrapan
1. Gambar fail menunjukkan projek perumahan yang dibangunkan oleh syarikat Evergrande Group di Huaian, China.- Foto AFP

Gergasi hartanah China fail kebankrapan

NEW YORK – Syarikat gergasi hartanah China, Evergrande Group memfailkan pengisytiharan muflis di New York, Amerika Syarikat (AS), lapor portal be­ri­ta Daily Express kelmarin.


Evergrande Group mencatat kerugian AS$80 bilion (RM372 bilion) sepanjang 24 bulan lalu, manakala keseluruhan liabilitinya berjumlah lebih AS$300 bilion (RM1.39 trilion), demikian menurut beberapa laporan.


Permohonan pengisytiharan muflis itu difailkan pada Khamis lalu. Kejatuhan syarikat gergasi itu dibimbangi boleh memberi kesan terhadap ekonomi dunia termasuk kestabilan ekonomi Britain.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Langkah syarikat itu memfailkan pengisytiharan muflis membolehkannya melindungi aset miliknya di AS sementara membincangkan langkah penyelesaian berbilion-bilion dolar dengan para pemiutang.


Menurut pakar pasaran global, China telah meminta bantuan dana persendirian dengan tujuan untuk mengukuhkan keyakinan pelabur.


“Gergasi hartanah China, Ever­grande Group memfailkan kebankrapan di mahkamah New York, mencatatkan kerugian AS$80 bilion sejak dua tahun lalu dan mempunyai jumlah liabiliti lebih AS$300 bilion,” kata maklumat disiarkan oleh The Spectator Index yang merupakan majalah kewangan online.


Firma hartanah itu mula berdepan masalah pada 2021 apabila ia gagal membayar hutangnya yang besar sehingga menyebabkan berlakunya kekacauan dalam pasaran kewangan global.


Evergrande mengisytiharkan kebankrapan ketika China dilanda krisis besar sektor hartanah sekali gus menambah kebimbangan mengenai situasi ekonomi kedua terbesar dunia itu.


Sebuah lagi syarikat gergasi hartanah China, Country Garden menyatakan, pihaknya mungkin mengalami kerugian mencecah AS$7.6 bilion (RM35.36 bilion) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.


Syarikat Evergrande pada masa ini mempunyai lebih 1,300 projek berbeza yang sedang diusahakannya di 280 buah bandar di China dan juga merupakan pembuat kereta elektrik serta pernah memiliki kelab bola sepak tempatan, Guangzhou FC.


Kelab bola sepak itu adalah satu-satunya dari China yang pernah memenangi Liga Juara-Juara AFC dua kali pada 2013 dan 2015 apabila ia diuruskan oleh jurulatih seperti Marcello Lippi dari Itali dan Luiz Felipe Scolari yang membawa pasukan Brazil memenangi Piala Dunia.


Evergrande kini syarikat pemaju hartanah yang paling banyak berhutang di dunia. – AGENSI


Sumber: Kosmo!


Gergasi hartanah China fail kebankrapan


Comments


bottom of page