KUALA LUMPUR: Satu garis panduan perlu diwujudkan antara agensi pusat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak bagi memperincikan agihan bidang kuasa membabitkan ketiga-tiga pihak.
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang mengiktiraf JKR Sarawak dan Sabah sebagai Jabatan Teknik Kerajaan.
Menerusi pengiktirafan itu, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa melaksanakan tadbir urus secara sendiri bagi projek pembangunan Persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata garis panduan itu juga perlu diwujudkan bagi menentukan agihan peranan dan tanggungjawab pihak yang terbabit dalam pelaksanaan projek di Sabah dan Sarawak.
"Kementerian Kerja Raya (KKR) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri semalam berhubung keputusan Jemaah Menteri mengiktiraf JKR Sarawak dan JKR Sabah sebagai Jabatan Teknik Kerajaan.
"Keputusan ini akan membabitkan pindaan Arahan Perbendaharaan 182 (AP 182) yang sebelum ini menetapkan semua Jabatan Bukan Teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik yang diiktiraf saja iaitu JKR Malaysia dan JPS Malaysia bagi melaksanakan semua projek kerajaan (perkara 182.1).
"KKR juga berpandangan supaya satu garis panduan perlu dibincang dan disediakan bersama agensi pusat bagi menentukan perincian agihan bidang kuasa, peranan dan tanggungjawab pihak yang terbabit dalam pelaksanaan projek kedua-dua negeri berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB), Alexander berkata fasa 1 projek itu mencapai kemajuan fizikal 91 peratus di Sarawak dan 73 peratus di Sabah.
Berdasarkan perkembangan itu, beliau menjangkakan keseluruhan fasa 1 LPB Sarawak dijangka siap akhir tahun ini kecuali bagi pakej 11 (Lambir dan Beluru) yang dijangka siap tahun depan berikutan terdapat perubahan skop projek.
Katanya, fasa 1 LPB di Sabah pula dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025.
"Fasa dua LPB Sarawak pula akan membabitkan jajaran Miri-Limbang-Lawas (Lebuhraya Transborneo), fasa ke-2 projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR), dan fasa 1B bagi projek LBU Sabah, keseluruhan membabitkan anggaran kos projek sebanyak RM26.2 bilion.
"Semua projek baharu ini sudah memperoleh kelulusan prinsip dari Jemaah Menteri pada April tahun lalu.
"Pembinaan fizikal dijangka bermula pada 2024, iaitu sebaik sahaja Bajet 2023 diluluskan di Parlimen dan pengesahan kelulusan peruntukan diterima daripada agensi pusat," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments