Sebuah projek pembinaan hotel 44 tingkat didakwa menjadi penyebab kerosakan berhampiran landasan stesen LRT Bandaraya sehingga menjejaskan perkhidmatan, didakwa tidak mematuhi Garis Panduan Zon Perlindungan Rel daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ini kerana mengikut peraturan Seksyen 8 bawah Peraturan Kereta Api 1998 (Zon Keselamatan Kereta Api), sebarang projek pembinaan di zon keselamatan kereta api perlu mendapatkan kelulusan daripada APAD sebelum kebenaran dikeluarkan agensi itu selepas siap kajian.
Mengikut syarat ditetapkan APAD, asas kerja yang dilakukan di penimbal (buffer) pertama perlu mematuhi jarak 60 meter daripada tiang, sementara penimbal kedua mesti berkedudukan 45 darjah daripada cerucuk.
Prosedur merangkumi pelbagai aspek seperti teknikal dan geoteknik itu bagi melihat dan memastikan tiada implikasi terhadap infrastruktur ataupun terhadap keselamatan kereta api.
Mengulas projek pembinaan berdekatan struktur stesen berkenaan, Loke menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan pembangunan di tapak berkenaan.
Sama ada projek pembangunan terbabit akan diteruskan atau tidak, beliau berkata ia di luar bidang APAD kerana terletak di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Tetapi sekiranya projek ini diteruskan, syarat-syarat yang ketat perlu kita letakkan supaya gangguan ini dan kerosakan ini tidak berulang sama sekali.
Ambil iktibar kejadian ini, gangguan setahun operasi LRT
"Kita amat kesal dengan apa berlaku kerana setahun kita terpaksa menutup laluan antara kedua-dua stesen ini. Kita terpaksa ambil iktibar.
"Justeru, pihak Prasarana akan memantau lebih dekat sebarang kerja-kerja pembinaan dekat Stesen Bandaraya ini atau di mana-mana stesen ini akan jadi pengajaran kepada kita, supaya lebih berhati," katanya.
Loke juga menasihatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memastikan mana-mana tapak pembinaan yang berdekatan atau dalam lingkungan Zon Perlindungan Kereta Api mendapat kebenaran daripada APAD.
Ini kerana, beliau bimbang akan berlaku kerosakan pada struktur di stesen berdekatan yang boleh menjejaskan operasi perkhidmatan pengangkutan awam.
Mana-mana tapak pembinaan yang berdekatan dengan mana-mana stesen pengangkutan awam khususnya stesen rel, mesti mengambil kira faktor keselamatan dan memastikan sebelum sesuatu kelulusan diberikan, pihak APAD dan Prasarana mesti dimaklum dan dilibatkan sebelum sesuatu projek itu diluluskan.
Apabila membabitkan apa-apa stesen rel ini, kita harap pihak PBT lebih berhati-hati dan merujuk kepada APAD dan Prasarana supaya ada kajian serta pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan.
"Maka syarat ketat perlulah dipatuhi dan kita harap ada kerjasama dengan semua pihak PBT," katanya.
Adakah DBKL cuai beri kelulusan projek?
Mengenai sama ada DBKL cuai dalam memberi kebenaran kepada pemaju untuk menjalankan pembinaan di tapak berhampiran Stesen LRT Bandaraya, Loke berkata pihak pemaju tidak mematuhi syarat yang dikeluarkan dengan memulakan projek tanpa kelulusan daripada APAD.
Mengikut ketetapan prosedur, beliau berkata sepatutnya syarikat pemaju memulakan pembinaan selepas mendapat kelulusan daripada APAD.
"DBKL bukan mengabaikan. Sebelum kelulusan diberikan APAD dan Prasarana, mereka (syarikat pemaju) telah memulakan kerja. Syarat itu ada tetapi saya bukan nak menyalahkan DBKL dalam hal ini.
"Tetapi pemaju tidak mematuhi syarat tersebut dan telah mula kerja sebelum kelulusan daripada APAD dan Prasarana. Itu yang kita katakan kita harapkan kerjasama daripada pihak PBT.
"Kalau belum ada kelulusan daripada semua agensi terlibat, khususnya dalam kes di mana dekat dengan stesen rel ini, kelulusan APAD dan Prasarana termasuk PBT, mesti tidak membenarkan sebarang kerja pembinaan dimulakan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Gangguan operasi LRT, Prasarana tuntut pampasan RM38 juta daripada pemaju projek
Comments