top of page

Gangguan air di Selangor: Ada pelanggaran undang-undang



PELANGGARAN undang-undang melibatkan lesen perniagaan dan pembinaan culvert dikenal pasti sebagai faktor utama insiden gangguan bekalan air berpunca pencemaran air di Sungai Kuang, Selangor yang berlaku pada 22 Julai lepas.


Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiagoberkata perkara itu merupakan penemuan Jawatankuasa Khas (JKK SPAN) yang menjalankan siasatan berhubung insiden gangguan bekalan air tidak berjadual kepada kira-kira 1,141 kawasan.


Jelasnya, penemuan merumuskan penyewa utama premis yang mempunyai lesen perniagaan yang sah telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai lesen tersebut tanpa pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Awal Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA), penyewa utama premis yang mendapat kelulusan laporan EIA telah membenarkan penyewa sub mengguna pakai laporan itu tanpa pengetahuan atau kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS).


“Mengenai pembinaan culvert tiada maklumat dari pelan yang diluluskan oleh PBT berhubung pembinaan culvert dalam premis yang bersebelahan,” katanya dalam sidang media Pelaporan Hasil Siasatan Jawatankuasa Khas (JKK) SPAN berkait gangguan bekalan air di Selangor.


Insiden gangguan bekalan air berpunca pencemaran air di Sungai Kuang pada 22 Julai lepas menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada 1,124,781 akaun pengguna.


Pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah membawa kepada henti tugas sementara di empat loji rawatan air, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di ratusan kawasan di serata Kuala Lumpur dan Selangor.


Sementara itu, Charles berkata SPAN mencadangkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas melibatkan pemeriksaan di premis secara fizikal hendaklah dilakukan bagi setiap permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan.


Beliau berkata setiap agensi hendaklah memastikan perkongsian maklumat secara real time dan kerjasama secara langsung antara agensi dilaksanakan, tanpa mengira kod tahap kes pencemaran yang diaktifkan


“Pengawasan dan tindakan yang lebih ketat terhadap pemegang Approved Permit (AP) bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen termasuklah perbuatan menjual dan memberi sewa atau sub lesen tersebut kepada pihak ketiga termasuk warga asing.


“SPAN memohon supaya kerajaan negeri untuk melaksanakan pemeriksaan ke atas setiap kilang atau premis perniagaan yang berasaskan kitar semula sisa plastik khususnya pada kawasan yang terlibat dan amnya semua kawasan yang berisikotinggi,” katanya.


Berdasarkan laporan JKK SPAN setebal 67 muka surat yang dikeluarkan hari ini, SPAN turut mendedahkan kemungkinan berlaku aktiviti pengubahan wang haram dalam insiden berkenaan.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


bottom of page