KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd memperoleh kontrak bernilai RM1.968 bilion daripada Pengurusan Air Selangor membabitkan Loji Rawatan Air Rasau yang baharu.
Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, menerusi kontrak itu, pihaknya akan bertindak sebagai Kontraktor Utama bagi "Cadangan Pembangunan Skim Bekalan Air Sg. Rasau (Peringkat 1), Selangor Darul Ehsan - Pakej 1: Reka Bentuk dan Binaan Cadangan Pengambilan Rasau, Pengepaman Utama Air Mentah, Loji Rawatan Air Dan Kerja-kerja Berkaitan".
Katanya, skop kerja pakej skim bekalan air itu kepada Gamuda terdiri daripada reka bentuk dan binaan yang antara lain struktur pengambilan berkapasiti 1,400 juta liter sehari (Mld) untuk menarik air mentah tambahan dari kolam bekas lombong di Taman Putra Permai, Puchong.
"Loji rawatan air seluas 700 juta berhampiran Tanjung Dua Belas termasuk kerja sivil, struktur dan bangunan, kerja mekanikal loji proses, elektrik, instrumentasi, SCADA, perkhidmatan bangunan dan kerja luaran berkaitan.
"Paip berkembar berdiameter 2.4 meter yang menghubungkan struktur pengambilan dan loji rawatan air serta dua jambatan bertingkat melintasi Lebuhraya Elit dan Lebuhraya SKVE.
"Kerja pembangunan akan bermula dari 15 Julai 2022 sehingga menjelang Jun 2025 dan dijangka akan mengambil masa 35.5 bulan untuk menyiapkannya," katanya.
Gamuda berkata, Kontrak Loji Rawatan Air Rasau itu menambah RM2 bilion lagi kepada buku pesanan semasanya yang juga pada paras tertinggi sepanjang masa Gamuda iaitu RM12.4 bilion yang dilaporkan dalam keputusan suku ketiga terakhirnya.
Katanya, ini menjadikan jumlah buku pesanan pembinaannya kepada RM14.4 bilion.
"Pembangunan skim bekalan air ini adalah penting kerana Skim Sungai Selangor kini adalah satu-satunya sumber bekalan air mentah ke Wilayah Klang. Dengan pelaksanaan Skim Rasau, margin rizab air dijangka meningkat kepada 20.9 peratus pada akhir Jun 2025.
"Tanpa Loji Rawatan Air Rasau yang baharu, margin rizab bekalan air semasa di Klang akan menurun kepada 1.9 peratus menjelang 2024. Skim Bekalan Air Rasau dijangka menghasilkan bekalan air bersih sehingga 700 juta liter sehari ke wilayah Klang pada peringkat pertama ia disiapkan pada 2025.
"Peringkat 1 Skim Bekalan Air Rasau terdiri daripada tiga pakej kesemuanya," katanya.
Sumber: Berita Harian
Kommentare