top of page

G25 gesa batalkan PSI, bertentangan dengan SDG


Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR)
Projek PSI yang mengandungi tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang. AAA

Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR)

SHAH ALAM - Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) kerana bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030.


G25 dalam satu kenyataan memberitahu, projek PSI bukan sahaja akan menjejaskan pantai Pulau Pinang malah turut melibatkan perairan Kedah dan Perak.


Menurutnya, kerja-kerja penambakan itu akan menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar sekaligus memusnahkan ekosistem dan biodiversiti laut.


"Kerajaan terdahulu sangat lantang menyokong Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030.


"Contohnya, SDG 14 yang mana ia meliputi pemuliharaan dan penggunaan mampan hidupan laut. Sangat jelas projek ini bertentangan dengan SDG," katanya pada Khamis.


Sinar Harian melaporkan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi PSI sudah memasuki peringkat akhir untuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, laporan tersebut akan dibawa ke mesyuarat teknikal pada bulan depan untuk dimuktamadkan keputusan sama ada projek mega tersebut boleh dimulakan atau sebaliknya.


Dalam pada itu, G25 berkata, projek berkenaan juga akan mengganggu kawasan penangkapan ikan dan menjejaskan hasil pencarian nelayan jika ia diteruskan.


"Mereka daripada golongan berpendapatan rendah yang hanya mampu membeli makanan laut secara terus daripada nelayan.


"Kami memuji sikap nelayan yang bertegas dengan bantahan mereka terhadap projek penambakan itu sejak ia diperkenalkan pada 2015," jelasnya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page