KUALA NERUS: Fenomena ombak besar dan angin kencang menyebabkan sebahagian besar tebing di laluan Pantai Kampung Kolam Batu Rakit rosak, malam semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora itu sejak Sabtu lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Rabu ini.
Tinjauan Berita Harian mendapati tebing di laluan itu rosak tetapi sudah dibaik pulih pihak bertanggungjawab selain papan tanda amaran air melimpah diletakkan di laluan itu sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, kejadian ombak besar ini bermula pada jam 9.50 malam hingga lewat pagi.
“Fenomena ini menyebabkan air melimpahi jalan Kampung Kolam Batu Rakit ke Pantai Pengkalan Maras dengan jarak lebih kurang 500 meter. Tiada kerosakan pada kediaman dan tiada kecederaan kepada pengguna jalan raya namun bagi menjamin keselamatan pengguna, laluan itu ditutup sehingga keadaan kembali baik dan terkawal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Oleh demikian, Adam meminta orang ramai terutama pengguna dan penduduk berhampiran jalan raya di laluan pantai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terlalu teruja berkumpul di tepi pantai untuk menyaksikan fenomena ombak besar itu,” katanya.
Menurutnya, sepanjang Pantai Miami di Seberang Takir, di sini juga mengalami fenomena yang sama.
“Jika ombak terlalu besar dan air melimpahi jalan, langkah keselamatan akan diambil segera dengan menutup laluan itu kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Bazlan Abd Rahman berkata, kawasan yang mengalami kerosakan itu sudah tiga kali dibaik pulih.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta menjalankan kajian terperinci bagi menyelesaikan hakisan itu. Laluan pantai ini mengalami kerosakan sama sebanyak tiga kali walaupun sudah ditambak batu,” katanya.
Beliau berkata, kajian terperinci daripada pelbagai aspek dijalankan dan tindakan segera perlu diambil supaya masalah hakisan seperti itu tidak berterusan dan membabitkan perbelanjaan yang besar.
Sumber: Berita Harian
Commentaires