top of page

FELDA perlu RM711 juta atasi perumahan generasi kedua


KUALA LUMPUR: FELDA memerlukan suntikan RM711 juta bagi meneruskan projek pembinaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang bermasalah akibat masalah kewangan dihadapi agensi itu pada 2016.


Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata projek PGBF yang bermasalah itu membabitkan 30 tapak dengan jumlah rumah sebanyak 6,816 unit.


“Ketika pembentangan Bajet 2013, diumumkan berkaitan pembinaan PGBF dengan sasaran 20,000 unit dalam tempoh lima tahun dan FELDA akan menerima RM1.5 bilion namun sehingga 2017, FELDA hanya menerima RM200 juta.


“Oleh yang demikian hanya 38 tapak dengan 8,314 unit rumah sahaja yang dapat diteruskan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung masalah perumahan generasi kedua FELDA di Dewan Rakyat hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, status terkini pembinaan PGBF ialah sebanyak lapan tapak membabitkan 1,498 unit rumah sudah disiapkan dan akan diduduki oleh 798 peserta manakala baki 706 unit lagi akan diserahkan selepas proses pemilihan peserta selesai.


Katanya, sebanyak 19 tapak yang mempunyai 5,082 unit rumah masih berjalan dengan kemajuan kerja yang perlahan manakala 11 tapak lagi yang memiliki 1,734 unit dikategorikan sebagai terbengkalai dan diberhentikan.


“Sebanyak 30 tapak bermasalah dengan jumlah rumah sebanyak 6,816 unit ini adalah berpunca daripada masalah kewangan pada tahun 2016. Sekiranya baki 6,816 ini hendak disiapkan, FELDA memerlukan suntikan sebanyak RM711 juta,” katanya.


Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar sama ada kerajaan akan melaksanakan semula sistem bayaran minimum RM1,500 kepada peneroka, Mohd Radzi berkata, sistem itu masih diteruskan sehingga kini.


“Cuma penurunan harga komoditi menyebabkan hasil peneroka berkurangan dan apabila ditolak jumlahnya (hutang), maka mendatangkan hasil (berbaki) yang sedikit kepada peneroka,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata Kertas Putih FELDA akan dibentangkan pada minggu terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini.


“Kertas Putih ini akan memperincikan beberapa perkara termasuk perancangan jangka pendek dan sederhana serta jangka panjang dan ini juga membabitkan isu-isu berkaitan hutang peneroka,” katanya.



Comments


bottom of page