LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang ditubuhkan 64 tahun lalu bukan asing dalam industri komoditi terutama kelapa sawit dan getah.
Malah, tidak keterlaluan jika Felda dilabelkan sebagai agensi pembangunan tanah yang terulung.
Selain pembangunan tanah, kesejahteraan komuniti peneroka juga tentunya menjadi perkara utama dan sepanjang tempoh penubuhannya, Felda telah memainkan peranan yang signifikan dalam hal tersebut.
Tanggungjawab besar yang secara tidak langsung digalas oleh Felda sebagai pemaju perumahan adalah antara peranan yang dilaksanakan agensi itu yang mungkin tidak ramai mengetahuinya.
Tentunya penyediaan kemudahan asas isi rumah itu bukan perkara mudah kerana Felda juga berdepan cabaran dalam memenuhi kehendak pasaran dan kemampuan bakal pembeli.
Namun cabaran yang dihadapi tidak menjadi penghalang untuk Felda mencipta kejayaan melalui projek-projek perumahan terdahulu seperti projek Feldajaya, Perumahan Warga Felda (PWF), Rumah Mesra Rakyat – Felda, Perumahan 1FELDA dan Rumah Muafakat Felda (RMF).
Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, meskipun kemampuan Felda terbukti dengan hasil projek-projek tersebut, Felda tidak terkecuali berdepan cabaran lain antaranya untuk menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai.
Katanya, PGBF menjadi keperluan penting untuk Felda menyediakan kemudahan perumahan bagi generasi baharu tanah rancangan berkenaan.
"Bantuan kerajaan menerusi suntikan dana RM250 juta yang diumumkan dalam pembentangan Kertas Putih Felda membolehkan Felda meneruskan dan menyiapkan pembinaan bagi 4,794 unit rumah yang mencapai kemajuan kerja 70 peratus sebelum ini.
“Alhamdulillah, sehingga awal Januari ini, kita telah menyiapkan 2,058 unit iaitu 43 peratus daripada sasaran 4,794 unit sejak menerima dana dari kerajaan pada bulan Jun 2019. Kita juga optimis untuk menyiapkan baki 2,736 unit sebelum penghujung tahun ini," katanya pada Sinar Harian.Sasar lebih ramai mampu beli.
Felda komited menyediakan keperluan kemudahan perumahan kepada generasi Felda melalui PGBF yang diteruskan.
Mengulas lanjut, Othman berkata melalui projek tersebut, Felda mengharapkan lebih ramai generasi baharu dapat memiliki rumah bukan sekadar mampu menyewa. Katanya, Felda berdepan cabaran untuk merealisasikan hasrat tersebut disebabkan ketidakmampuan dan kegagalan pemohon memenuhi kelayakan mendapatkan dana pembiayaan pembelian rumah.
"Sebelum ini ramai yang buat sewa beli kerana gagal mendapatkan pembiayaan bank.
"Jadi Lembaga Felda telah meluluskan untuk melonggarkan kriteria pemilihan bagi permohonan yang dibuka kali kedua sekiranya masih ada kekosongan selepas serahan pusingan pertama bagi sesebuah projek.
"Kelonggaran ini melibatkan syarat pendapatan kasar dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM7,500 tetapi syarat-syarat lain masih terpakai," katanya.
Pada masa sama beliau berkata, Felda juga merangka kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Agro Bank dan Bank Pembangunan dalam usaha menyediakan kemudahan pembiayaan kepada bakal pembeli.
Teruskan baki projek
PGBF Othman mengakui sukar untuk Felda meneruskan projek PGBF tanpa peruntukan yang disalurkan kerajaan.
Katanya, Felda amat menghargai keprihatinan kerajaan dalam menyediakan dana untuk menyiapkan projek itu dan kini fokus Felda adalah untuk meningkatkan pendapatan peneroka melalui pengurusan ladang yang mampan.
"Apabila pendapatan mereka meningkat, mereka akan berkemampuan untuk membeli rumah.
"Felda memerlukan sebanyak RM600 juta lagi dana untuk meneruskan baki projek PGBF berstatus di bawah 70 peratus siap.
"Hasil jualan unit yang siap dengan dana kerajaan ini sedikit sebanyak akan membolehkan kesinambungan baki projek PGBF dilaksanakan," katanya.
Lima projek diserahkan pada 2019
Sementara itu, Pengarah Jabatan Aset dan Hartanah Felda, Ridzuan Mohd Noor menjelaskan, Felda telah menyerahkan 1,070 unit kepada generasi baharu Felda pada tahun lalu.
Katanya, penyerahan itu melibatkan lima rancangan seluruh negara.
"Lima projek diserahkan pada tahun 2019 melibatkan projek di Felda Selancar 4/5, Selendang 2, Sungai Koyan 1B, Pasoh 1 dan Pasir Besar.
“Pada 10 Januari ini juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyampaikan 311 unit rumah PGBF lagi di Felda Sungai Sibol, Kulai melibatkan generasi baharu di rancangan tersebut dan juga rancangan Felda Penggeli Timur.
"Baki unit di rancangan lain yang telah siap akan diserahkan secara berperingkat," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comments