KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Bhd, yang berdepan krisis kewangan, menyatakan hasrat berunding dengan mana-mana pihak yang berminat membangunkan projek hartanah premiumnya, Semarak 20.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata projek pembangunan bercampur yang bernilai RM1 bilion di Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu sudah siap 42 peratus.
Namun begitu, pembangunannya bergerak perlahan sejak suku ketiga 2018 berikutan kekurangan dana kumpulan itu ekoran salah laku pihak pengurusan terdahulu.
Beliau menjelaskan, meskipun FELCRA mengkaji pelbagai pilihan termasuk menjual projek terbabit, namun berdasarkan kelembapan pasaran hartanah semasa maka ia bukanlah masa yang sesuai melepaskan aset berkenaan.
“Walau begitu, kita terbuka untuk mana-mana kerjasama dengan pihak pemaju lain atau jika ada pihak yang berminat untuk membeli (Semarak 20), kita terbuka untuk sebarang perbincangan.
“Dalam pada itu, pilihan lain yang kita ada ialah memindahkan semua kakitangannya di Wisma FELCRA ke pejabat FELCRA sekitar Kuala Lumpur dan bangunkan tanah di sini (Wisma FELCRA) untuk projek lain,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Pembangunan bercampur itu menempatkan servis apartmen, menara residensi, Menara FELCRA setinggi 35 tingkat dan pusat konvensyen antarabangsa.
Mohd Nazrul yang menerajui FELCRA sejak Oktober lalu menggantikan Datuk Zulkarnain Md Eusope yang tamat perkhidmatan.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, FELCRA akan terus fokus kepada perniagaan terasnya iaitu perladangan dengan meningkatkan hasil kelapa sawit dan getah, di samping meningkatkan pemilikan estet FELCRA daripada 30,000 hektar kepada 100 hektar dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, ini termasuk langkah menyusun semula operasi untuk meningkatkan keupayaan kewangan menerusi pertambahan keupayaan ladang, produktiviti, tata kerja dan kualiti hasil buah.
“Jika berlaku penurunan harga minyak sawit mentah, margin yang kita dapat mampu menyokong pengurangan ini.
“Kita kena faham, ketika ini bekalan minyak sawit mentah berada pada tahap tertinggi dan situasi ini dirasai oleh semua peserta industri.
“Lebih teruk, FELCRA kini berada dalam keadaan kecairan wang yang kritikal... selepas pelbagai wang dibelanjakan, kita tidak dapat sebarang pulangan yang kompetitif,” katanya.
Katanya, bagi tempoh jangka pendek, pihaknya menumpukan untuk tingkatkan hasil sekurang-kurangnya dua tan per hektar bagi kebun peserta.
“Ketika ini kita ada 150,000 hektar milik peserta di bawah kendalian FELCRA. Kita kena balik kepada matlamat asal iaitu asasnya, jika kita tingkatkan kualiti dan hasil buah, kita akan dapat pulangan tinggi,” katanya.
Pada 12 Disember lalu, FELCRA membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pihak pengurusan terbaharu mendapati beberapa penemuan mencurigakan ketika Audit Pengurusan FELCRA Bhd (FELCRA).
“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan terus beri kerjasama sepenuhnya untuk bantu SPRM selesaikan kes ini,” kata Mohd Nazrul.
Mengulas mengenai cadangan untuk disenaraikan di papan Bursa Malaysia, beliau berkata, pihaknya kini sedang menumpukan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan terlebih dahulu sebelum disenaraikan.
“Buat masa ini, kita tidak ada sebarang usaha ke arah itu. Jika kita mahu laksanakan tawaran awam permulaan (IPO), kita kena pastikan saham dapat dijual. Untuk itu, kita kena pastikan kewangan kita kukuh terlebih dahulu,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Kommentare