GEORGETOWN - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang bagi fasa pertama termasuk panggilan tender dijangka akan bermula hujung tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan Persekutuan ingin melaksanakan projek tersebut dengan kadar segera agar fasa pertama projek itu boleh disiapkan dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, pihak MRT Corp telah menyemak semula rancangan pelaksanaan fasa bagi projek itu agar ia lebih sesuai untuk dilaksanakan.
"Seperti yang dirancang sebelum ini, projek LRT akan dilaksanakan dalam beberapa fasa iaitu fasa pertama adalah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke Komtar. Namun, setelah dilihat semula, ia bukan berakhir di Komtar sebaliknya disambung hingga ke Tanjung Bungah.
"Laluan itu sepanjang 29 kilometer dengan 27 stesen. Sudah tentu Komtar akan menjadi stesen utama di tengah-tengah bandaraya iaitu stesen itu telah dikenalpasti sebelum ini iaitu tapak di sebelah Sia Boey ini.
"Inilah fasa pertama yang telah kita putuskan yang mana, ia akan mula dilaksanakan pada penghujung tahun ini. Ini termasuk panggilan tender bagi projek ini," katanya ketika membuat lawatan ke Sia Boey Urban Archaeological Park, di sini pada Selasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kerajaan pusat telah memuktamadkan bahawa depo LRT tidak akan dilaksanakan di Pulau Silikon yang bakal dibangunkan dalam Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
Kata beliau, depo tersebut akan dibangunkan di tapak sedia ada namun lokasi tapak tersebut masih dalam perbincangan.
"Kedudukan dan lokasi depoh telah dimuktamadkan bahawa akan dibina di tapak sedia ada, bukannya di Projek PSI. Cadangan asal kerajaan negeri adalah di tapak Projek PSI tetapi setelah berbincang, projek ini tidak terikat dengan projek pulau tersebut.
"Jadi untuk mempercepatkan proses projek LRT ini, maka perlu kita memuktamadkan lokasi depo ini. Oleh itu, kita mencadangkan depoh dibina di tapak sedia ada kerana jika dibina di Projek PSI, kita perlu tunggu pulau itu ditambak baru boleh bina depo.
"Ini penting kerana tanpa lokasi depo, kita tidak boleh memuktamadkan dari segi kos dan jajaran. Ada beberapa lokasi tapak tapak namun ia belum dimuktamadkan. Depo antara komponen utama sebelum sistem dapat dijalankan," katanya.
Tambah beliau, selepas lokasi depo, kos dan jajaran dimuktamadkan, Kementerian Pengangkutan akan membawa keputusan itu ke peringkat Kementerian Kewangan untuk diputuskan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, jajaran baharu dari Komtar ke Tanjung Bungah akan diletakkan untuk paparan umum bagi mendapatkan maklum balas rakyat.
"Tiada isu untuk laluan LTAPP ke Komtar kerana Kerajaan Pusat telah membuat keputusan secara prinsip untuk melaksanakannya.
“Memandangkan kita sedang memanjangkan laluan LRT ini, laluan baharu itu perlu dipamerkan kepada umum.
"Dari segi bantahan yang akan dibuat oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan berhubung isu pemanjangan laluan ini, kita bersedia untuk mendengar sebarang kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comentários