KUALA LUMPUR 29 Mei – Fajarbaru Builder Group Bhd mengumumkan syarikat milik penuhnya, Fajarbaru Builder Sdn Bhd (FBSB) bersama dengan Avionics Pty Ltd (APL), telah memperoleh tambahan nilai kontrak berkaitan dengan Kontrak Utama ( Antarabangsa) Dua Fasa dan Kontrak Kerja Kecil (Antarabangsa) daripada Jabatan Pertahanan Australia, dengan bahagian tambahan nilai kontrak Kumpulan bernilai RM15.71 juta.
Perkembangan ini, yang berlaku berikutan pindaan kepada kontrak, mengembangkan skop penglibatan Fajarbaru dalam projek infrastruktur reka bentuk dan pembinaan untuk membangunkan semula fasiliti ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang, Malaysia.
Menyingkap semula pada 10 Julai 2023, FBSB dan APL telah dianugerahkan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa daripada Jabatan Pertahanan Australia untuk membangunkan semula fasiliti ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.
Bagi Fasa Perancangan projek tersebut, bahagian kontrak Fajarbaru pada mulanya bernilai RM7.36 juta.
Pada 11 Januari 2024, Fajarbaru mengumumkan bahawa jumlah nilai bahagian ini telah disemak naik kepada RM12.30 juta, untuk mengambil kira kerja tambahan. Pada 15 Mac 2024,
Fajarbaru mengumumkan ia telah memperoleh Kontrak Kerja Kecil (Antarabangsa) dari pada Jabatan Pertahanan Australia, dengan bahagian kontrak Kumpulan bernilai RM11.04 juta.
Dengan pengumuman pada Rabu, jumlah nilai kerja Fajarbaru yang diperoleh untuk projek ini kini berjumlah RM39.05 juta setakat 28 Mei 2024.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, perkembangan ini adalah bukti keyakinan yang telah diberikan oleh Jabatan Pertahanan Australia terhadap keupayaan Fajarbaru untuk memberikan hasil yang luar biasa dan membuka peluang masa depan dalam sektor pertahanan.
“Kami akan terus mengejar peluang tambahan untuk meningkatkan penglibatan kami dalam projek ini, dengan memanfaatkan kekuatan kami yang terbukti dalam projek infrastruktur kritikal dan pembinaan,” kata beliau dalam satu kenyataan media.
Sebagai sebahagian daripada kontrak yang dipinda, tempoh Fasa Perancangan projek telah dilanjutkan sehingga 9 September 2024, dari 30 April 2024 yang asal.
Tambahan pula, Kontrak Kerja Kecil (Antarabangsa) kini dijangka akan disiapkan pada 28 Mac 2025. Sebelum ini, kontrak tersebut dijadualkan siap pada 21 November 2024.
Butiran lanjut mengenai kontrak dan projek ini telah diumumkan dalam pemfailan Fajarbaru kepada bursa saham pada 28 Mei 2024, 15 Mac 2024, 11 Januari 2024, dan 10 Julai 2023.
Sumber: Dagang News
Comments