KUALA LUMPUR: Fajarbaru Builder Group Bhd menarik diri daripada menyertai pembangunan Residensi Cemara, rumah mampu milik di Putrajaya yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM192 juta adalah kerana ia menganggap projek itu 'tidak mampan' berikutan perubahan dari segi keperluan.
Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu mendedahkan bahawa penarikan diri sebagai pemaju projek itu disebabkan oleh perubahan dari segi keperluan yang dibuat oleh Perbadanan Putrajaya.
"Selepas pertimbangan yang teliti, lembaga pengarah mendapati pembangunan itu tidak mampan dan telah memutuskan untuk mengejar peluang yang lebih berdaya maju," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Fajarbaru mengambil bahagian dalam pembangunan itu melalui anak syarikat milik penuhnya Fajarbaru Land (M) Sdn Bhd.
Pada 8 November lalu, Fajarbaru berkata Perbadanan Putrajaya telah menerima penarikan balik Fajarbaru Land sebagai pemaju untuk pembangunan bersepadu itu.
Namun, tiada alasan diberikan ketika itu.
Fajarbaru juga mendedahkan bahawa anggaran kos yang ditanggung oleh Fajarbaru Land setakat ini bagi kerja-kerja yang telah dilakukan pada atau untuk pembangunan itu berjumlah RM1.2 juta.
"Tiada implikasi undang-undang yang timbul daripada penarikan balik oleh Fajarbaru Land," tambahnya.
Fajarbaru Land pada 24 Januari lalu menerima surat tawaran daripada Perbadanan Putrajaya berhubung pelantikan Fajarbaru Land sebagai pemaju Residensi Cemara, terdiri daripada 480 unit Residensi Madani dan 320 unit Residensi Wilayah, dengan tempoh pembangunan tiga tahun.
Unit-unit ini adalah sebahagian daripada program perumahan tajaan kerajaan.
Cadangan pembangunan itu sepatutnya dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Fajarbaru bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya.
Sumber: Berita Harian
Comments