top of page

Empangan Sabo di Yan siap 50 peratus, bakal minimakan impak kejadian kepala air


Empangan Sabo di Yan siap 50 peratus, bakal minimakan impak kejadian kepala air Astro Awani www.astroawani.com
Gambar hiasan: Empangan Sabo di Yan siap 50 peratus, bakal minimakan impak kejadian kepala air

YAN: Empangan Sabo di Yan kini telah 50 peratus pembinaannya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.


Setelah siap kelak empangan ini dijangka mampu meminimakan impak besar sekiranya berlaku kejadian kepala air di kawasan peranginan Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.


Menurut Pengerusi Sekriteriat Bencana Daerah Yan, Mohamad Subhi Abdullah, projek yang menelan kos sebanyak RM22.8 juta itu akan berperanan sebagai penampan atau pengempang bagi pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai.


Beliau berkata, kini kesemua kawasan rekreasi yang terlibat itu ditutup sepenuhnya kepada pengunjung bagi memastikan kelancaran projek tersebut.


"Projek di Titi Hayun dijangka boleh siap awal lagi dan dalam tempoh terdekat. Kita harapkan dengan adanya Empangan Sabo ini dia dapat meminimakan kesan-kesan bencana tersebut apabila dia menghalang kayu balak dan sebagainya daripada jatuh ke bawah. Hanya aliran air yang turun melalui lubang-lubang Empangan Sabo tersebut," katanya.


Selain itu katanya, sistem amaran aliran puing yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) turut dibangunkan di lokasi tersebut yang dapat membantu penduduk setempat daripada risiko kehilangan nyawa melalui kaedah pengawalan aliran batu, kayu dan sedimen semasa kejadian aliran sungai yang tinggi seperti fenomena kepala air.


Selepas setahun kejadian, kerjasama di antara agensi turut dipertigkat dan diperkemaskan bagi mengesan lebih awal kejadian seperti yang berlaku pada 18 Ogos 2021.


"Selain daripada itu jabatan-jabatan teknikal seperti jabatan meteorologi, jabatan pengairan dan saliran, polis, bomba dan sebagainya banyak membantu untuk menyalurkan info-info terkini dari segi keadaan cuaca aliran sungai dan sebagainya. Kita sentiasa berhubung antara semua jabatan dan agensi bagi memastikan kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya telah berkerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan mewujudkan Bomba Komuniti.


Pasukan yang terdiri daripada ketua kampung, penghulu dan penduduk ini telah diberi latihan asas untuk penyelamatan mangsa sekiranya beerhadapan dengan bencana.


"Berdasarkan kepada situasi lepas kita lihat bahawa agensi-agensi ini berkerjasama dan kita menumpukan kepada lokasi-lokasi tertentu untuk berlakunya kejadian ini bukan sahaja agensi kerajaan yang terlibat malah penduduk setempat juga terlibat dengan wujudnya bomba komuniti dan kerjasama daripada penghulu-penghulu juga turut membantu jadi mata dan telinga untuk memberi maklumat kepada kita mempercepat proses penyelamat," katanya.


Terdahulu mereka ditemui pada latihan simulasi penyelamatan mangsa kejadian kepala air di Pusat Peranginan Seri Perigi, hari ini.


Latihan itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Tragedi kepala air dan banjir lumpur yang berlaku pada 18 Ogos tahun lepas mengorbankan tujuh nyawa selain mengakibatkan lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas.


Sumber: Astro Awani


Comments


bottom of page