top of page

Elak mesin ganti tenaga manusia


Gambar hiasan

PADA 1999 di Dewan Rakyat, M Kulasegaran, ketika itu Ahli Parlimen Ipoh Barat mewakili pembangkang (DAP), membahaskan mengenai pembubaran Kumpulan Wang Buruh India Selatan (SILF).


Beliau menegaskan, baki dana sekitar RM2.5 juta dan tanah seluas 6.5 hektar sumbangan dermawan, mendiang Arumugam Pillai kepada SILF, dimanfaatkan untuk kepentingan anak bekas pekerja ladang di sini.


Hasil keprihatinannya menyaksikan pembinaan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai di Jalan Bukit Panchor di Nibong Tebal, dekat Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang, tapak didermakan mendiang.

Namun, ILP Arumugam Pillai, satu daripada 32 pusat latihan dikendalikan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di Kementerian Sumber Manusia, menyediakan kursus tahap 1, 2 dan 3 dengan kemudahan mesin serta peralatan latihan canggih, tidak mendapat sambutan diharapkan ketika itu.


Lebih menyedihkan, tiada langsung calon berketurunan India dalam pengambilan kumpulan pertama 61 pelajar, walaupun tempat tinggal disediakan dan elaun diberi kepada pelajar.


Hakikatnya, masyarakat masih melihat sektor teknikal dan vokasional sebagai kerjaya kelas bawahan dan kerja 3D iaitu dirty (kotor), dangerous (berbahaya) and difficult (sukar). Gaji juga kecil tidak setimpal tugasan dilakukan.


Bagai ditakdirkan, hampir sedekad selepas isu SILF, Kulasegaran kini menerajui Kementerian Sumber Manusia dan menggalas tanggungjawab meyakinkan masyarakat bahawa sektor teknikal serta vokasional yang dijenamakan sebagai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), menjanjikan masa depan cerah.


Baru-baru ini, apabila tercetus kontroversi berhubung kuota matrikulasi bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera, ramai geleng kepala menyedari sektor pendidikan negara masih terus dipolitikkan.


Walaupun kerajaan - baik baharu atau lama - kerap mencanang dasar bahawa sumber tenaga kerja negara perlu diperkasa menerusi pendidikan dan latihan kemahiran, hakikatnya peluang pendidikan di universiti awam (UA) terus menjadi permainan politik.


Tenaga kerja tidak diberi peluang sewajarnya

Persoalannya, bagaimana negara hendak maju kalau calon berpotensi menjadi tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada ekonomi negara, tidak diberi peluang sewajarnya. Ada pula yang hanya berkelulusan ‘çukup makan’ dapat masuk UA termasuk politeknik dan kolej vokasional.


Ketika menghadiri Sesi Khas Persidangan Menteri-Menteri Buruh ASEAN dan Singapura baru-baru ini, Kulasegaran memaklumkan hanya 28 peratus jumlah tenaga kerja di Malaysia ketika ini yang berkemahiran, berbanding negara lain seperti Singapura yang peratusannya mungkin setinggi 50 peratus.

Katanya, tidak ada negara boleh dibangunkan atau dimajukan melainkan sebahagian besar pekerjanya berkemahiran. Itulah cabaran besar negara sekarang.


Mendukacitakan ketika kita terkial-kial mempromosi TVET, bidang teknikal dan vokasional dunia semakin dikuasai mekanisasi dan automasi.


Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), sebuah entiti ekonomi membabitkan kerajaan dianggotai 36 negara, mengunjurkan dalam tempoh 20 tahun, mekanisasi dan automasi akan melenyapkan hampir separuh daripada pekerjaan sedia ada di dunia sekarang.


Pengarah Buruh OECD, Stefano Scarpetta, dalam laporannya baru-baru ini, berkata kajian menunjukkan 14 peratus peluang kerja akan lenyap sama sekali dan digantikan dengan mekanisasi dan automasi dalam tempoh antara 15 hingga 20 tahun akan datang, manakala 32 peratus sektor kerja dijangka mengalami perubahan ketara akibat perkembangan itu.


“Masih ramai belum menyedari betapa seriusnya kesan mekanisasi dan automasi terhadap tenaga kerja manusia. Satu bukti jelas boleh dilihat menerusi kesatuan sekerja sektor perkilangan di seluruh dunia yang susut hampir separuh dalam tempoh tiga dekad lalu,” katanya.


OECD mengingatkan semua negara agar proaktif mempersiapkan tenaga kerja masing-masing dengan meningkatkan kemahiran vokasional dan teknikal, supaya berada setapak di hadapan perkembangan mekanisasi dan automasi, agar tidak digantikan dengan mesin.


Mesin tidak mungkin 100 peratus menggantikan manusia. Seperti dikatakan seorang rakan, “dia (mesin) pun kita (manusia) yang buat”.


Namun, dalam perkembangan dunia kapitalis sekarang, mesejnya jelas bahawa manusia perlu menyesuaikan diri jika tidak mahu terpinggir. Dalam konteks ini, Malaysia di landasan sepatutnya dengan mempergiatkan program TVET, namun kerajaan tidak boleh alpa merangka strategi.


Kepada kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan, cabarannya sekarang ialah memastikan majikan sektor vokasional dan teknikal negara membayar gaji setimpal dengan kemahiran, sekali gus meningkatkan minat terhadap kerjaya berkaitan.



Comments


bottom of page