KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka meraih manfaat daripada bermulanya semula beberapa projek pembinaan berskala besar yang bakal mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk kontraktor tempatan secara khususnya dan rakyat secara umumnya.
Ketua Penganalisis AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata ia akan membabitkan 121 projek pembinaan bernilai RM13.93 bilion yang disemak semula oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih pentadbiran di peringkat persekutuan setahun lalu, yang telah menghasilkan penjimatan sebanyak RM805.99 juta.
“Ini tidak termasuk projek mega seperti Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang kini berkos RM16.63 dan Mass Rapid Transit 2 (MRT2) bernilai RM30.53 bilion berbanding kos asal masing-masing iaitu RM31.65 bilion dan RM39.35 bilion. Penjimatan kos daripada kedua-dua projek berjumlah RM23.84 bilion,” katanya.
Selain itu, Dr Anthony berkata, penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini bernilai RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion, ditambah dengan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan Pan Island Link 1 akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi domestik.
Tambahan pula, katanya dengan komitmen kerajaan untuk menyatukan konsolidasi fiskal, ia membayangkan bahawa perbelanjaan swasta akan terus menerajui pertumbuhan.
“Walaupun sektor awam mengalami rasionalisasi dan eksport menyederhana meskipun langkah-langkah sokongan dari China mendapat daya tarikan dan sepatutnya membantu memulihkan eksport yang lemah, langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan swasta.
“Dengan itu, KDNK pada 2019 diunjurkan berkembang sekitar 4.5 peratus dengan separuh pertama 2019 berkemungkinan pada 4.2 peratus dan separuh kedua 2019 pada 4.8 peratus.
Inflasi diunjurkan pada 1.0 peratus untuk tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata, dengan latar belakang pertumbuhan yang lebih sederhana, dasar monetari akan tetap akomodatif.
“Ruang untuk pelonggaran monetari akan terus kekal, terutama jika sentimen perniagaan dan pengguna kekal lemah.
“Justeru, kami menjangkakan ringgit berada pada tahap 4.10. Dengan mata wang tempatan masih rendah berbanding dolar AS, ia harus memberi kelebihan kepada pengeksport,” katanya.
Dalam segmen bon, beliau berkata meskipun pertumbuhan negara baharu muncul (EM) berdepan tekanan menurun, risikonya adalah rendah dengan peningkatan isyarat penstabilan.
“Hasil bon Malaysia akan disokong oleh asas makro yang sihat seperti pertumbuhan yang mampan, rizab yang sihat, lebihan akaun semasa, inflasi rendah dan aliran wang sebenar.
“Kami menjangkakan terbitan kasar MGS / GII di pasaran utama untuk 2019 berlegar sekitar RM120 bilion dan RM125 bilion, manakala pasaran bon dan sukuk dijangka menyaksikan jumlah terbitan RM80 hingga 85 bilion.
“Hasil MGS 10 tahun Malaysia pada 3.75 peratus hingga 3.80 peratus. Sekiranya tiada pemotongan kadar faedah, kami menjangkakan hasil 10 tahun kembali beralih ke paras asal antara 3.90 peratus hingga 4.00 peratus,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments