top of page

Ekonomi Malaysia tumbuh lebih kukuh


Ekonomi Malaysia tumbuh lebih kukuh Harian Metro www.hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua, tahun ini berbanding 5 peratus suku pertama lalu disokong permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan keadaan pasaran pekerja serta sokongan dasar berterusan.


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, peningkatan pertumbuhan itu mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.


Katanya, eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) dan daripada segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan.


"Walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat disebabkan sebahagiannya oleh asas rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan bagi April dan Mei 2022 sebaliknya menunjukkan prestasi yang kukuh.


"Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada suku pertama 2022," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua 2022, di sini, hari ini.


Nor Shamsiah berkata, selain itu perbelanjaan swasta dijangka memacu pertumbuhan, disokong oleh kemajuan dalam pasaran pekerjaan dan pemulihan dalam sektor pelancongan.


Menurutnya, pasaran pekerjaan terus mencatatkan kemajuan sejajar dengan pengukuhan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan 2022 akan disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pembukaan sempadan antarabangsa, mengimbangi jangkaan sederhana jangkaan luaran.


Beliau berkata, bagi keseluruhan 2022, walaupun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.


"Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun.


"Bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk," katanya.


Sumber: Harian Metro

Comments


bottom of page