KOTA BHARU - Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR), Laluan Rel Pantai Pantai Timur (ECRL) dan projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kini menjadi fokus utama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk kemudahan rakyat di Kelantan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, kesemua projek itu kini berjalan lancar dan ada yang sudah lebih 54 peratus siap.
Menurut beliau, projek itu juga turut membabitkan dua stesen ECRL masing-masing di Tunjong dan Pasir Puteh.
"Di Pasir Puteh kini sudah memulakan kerja-kerja tanah dan dijangka siap sepenuhny pada 2025," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ulang Tahun Ke-15 ECERDC di sini pada Ahad.
Baidzawi memberitahu, kerjasama ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta kerajaan negeri Kelantan sudah menarik pelaburan bernilai RM10.9 bilion di negeri ini dalam tempoh 15 tahun.
Jelasnya, usaha itu turut mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan lebih 2,000 peluang keusahawanan kepada rakyat Kelantan.
Melalui kerjasama berkenaan, anak-anak Kelantan dapat membuat pilihan bekerja di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah untuk mencari peluang yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Baidzawi percaya, sektor perindustrian terutamanya pembuatan, semikonduktor dan teknologi hijau juga akan muncul sebagai penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika berucap merasmikan program berkata, sejak penubuhan ECERDC, Kelantan menerima banyak manfaat terutama kemasukan pelabur, pembangunan projek infrastruktur dan logistik untuk membantu rakyat terutamanya golongan B40.
"Kita menyokong usaha ECERDC menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan menyelaraskan perancangan kerajaan negeri dan menyediakan mekanisme pemudah cara pelaburan yang kondusif, memastikan negeri ini mesra pelabur," katanya.
Sumber: Sinar Harian
ECRL, Lapangan Terbang SIP, CSR fokus utama ECERDC di Kelantan
Comments