Kota Kinabalu: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadikan model bagi cadangan pembangunan Projek Keretapi Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak dan Brunei.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, untuk itu kerjasama ketiga-tiga wilayah diperlukan apabila projek dilaksana selepas selesainya kajian kemungkinan yang akan bermula bulan depan.
Katanya, tumpuan ketika ini adalah menyelesaikan kajian itu yang diberi tempoh setahun berakhir 2025 dengan peruntukan RM7 juta daripada Kementerian Pengangkutan.
"Meskipun projek itu dikendalikan Kerajaan Persekutuan, ia tidak menjejaskan hak Sabah berkaitan urusan kereta api yang termaktub dalam perlembagaan bahawa ia bidang kuasa kerajaan negeri.
"Kita melihat kepada model pelaksanaan ECRL di Semenanjung yang mana jajarannya merentasi beberapa negeri dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
"Boleh kita katakan bahawa kita amat mengalu-alukan kajian ini dan setelah ia mendapat 'outcome' yang diinginkan, maka pihak Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam akan berbincang dengan lebih terperinci untuk pelaksanaannya nanti," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (GRS- Sindumin) dan Datuk Seri Yong Teck Lee berkaitan projek itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) turut menjadi Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Ahli Jawatankuasa Teknikal bagi kajian terbabit.
Katanya, kajian meliputi tiga skop iaitu menentukan jajaran yang sesuai untuk landasan dan sistem kereta api dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial dan kos.
"Skop kedua, ialah menentukan keseluruhan infrastruktur diperlukan di sepanjang laluan seperti lintasan rata, jejambat, stesen dan depoh, manakala skop ketiga, melaksanakan kajian kejuruteraan menyeluruh untuk memastikan sistem kereta api yang bakal dibina berteknologi terkini serta berdaya maju setanding sistem kereta api dunia," katanya.
Katanya, selain laluan menghubungkan Sarawak dan Brunei melalui jajaran Beaufort-Sipitang-Lawas (Sarawak), tiga lagi jajaran di Sabat turut dimasukkan iaitu Tanjung Aru-Kudat; Sandakan-Pitas-Kudat; dan Tawau-Lahad Datu-Sandakan.
Sumber: Harian Metro
Comments