PASIR PUTEH: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini dijangka dapat disiap dalam tempoh enam bulan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada Januari 2027.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacoub berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kemajuan projek jajaran itu di negeri ini yang sudah mencecah 61.97 peratus.
“Dengan kesungguhan daripada China Communications Construction Sdn Bhd (CCCC) serta sokongan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), projek ECRL ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan lebih awal.
“Untuk makluman ketika ini, kerja-kerja yang merangkumi pemasangan rasuk jejambat (beam launching) serta penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL yang pertama iaitu di Tunjong, Kota Bharu sedang giat dijalankan,”katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan teknikal ke T-Beam Yard CCCC-ECRL Seksyen 1, di Jerus,di sini hari ini.
Nik Soh memberitahu, walaupun pemasangan rasuk jejambat di sepanjang jajaran ini memerlukan reka bentuk serta dua saiz yang berbeza mengikut keadaan lokasi, namun ia dapat dilaksanakan dengan baik.
Katanya, penggunakan teknologi baharu serta kepakaran yang dimiliki oleh pihak CCCC telah membantu melancarkan projek ECRL berkenaan.
“Teknologi itu tidak menggunakan tenaga kerja yang ramai sebaliknya hanya 1,520 orang sahaja untuk projek ECRL di negeri ini.
“Projek ini lebih banyak menggunakan mesin dan teknologi baru sekali gus membantu mengurangkan pembaziran dari segi bahan binaan serta lebih kemas dan teratur,”ujarnya.
Projek ECRL ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di negeri-negeri di pantai timur khususnya Kelantan yang dianggap terpisah daripada pertumbuhan pesat di Lembah Klang.
Projek melibatkan jarak jajaran 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027.
Sumber: Utusan
ECRL di Kelantan siap enam bulan lebih awal
Comments