top of page

EcoWorld tinjau bangunkan lokasi baharu perkukuh kedudukan


Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia)
Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia)

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia)

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) meninjau untuk membeli kawasan baharu di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang bagi pembangunan selanjutnya, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran dalam pasaran hartanah tempatan.


Pada masa ini, pemaju hartanah terkemuka itu mempunyai kira-kira 3,366 hektar simpanan tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM85 bilion.


Projek hartanah EcoWorld Malaysia terletak di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang dengan 20 projek semuanya terdiri daripada rangkaian produk termasuk mampu milik, naik taraf dan rumah mewah, pembangunan bertingkat tinggi bersepadu dan perindustrian.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah, berkata selepas 10 tahun bertapak kukuh dan muncul sebagai pemaju berinovasi dalam pasaran hartanah, EcoWorld Malaysia bersedia untuk pertumbuhan selanjutnya dengan membangunkan hartanah yang bukan saja menepati selera dan kehendak pembeli, malah mempergiatkan pembangunan hartanah berkaitan perindustrian yang kini mendapat permintaan kukuh.


Beliau berkata, pihaknya akan terus berinovasi dengan memanfaatkan teknologi dan pendigitalan dalam operasi harian serta penyampaian produk terbaik kepada pembeli rumah di negara ini.


"Kami meninjau tanah baharu. Tumpuan di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang. Permintaan di Iskandar Malaysia sangat kukuh untuk kediaman bertanah serta kawasan perindustrian," katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.


Melangkah ke hadapan, Khim Wah berkata, Eco World Malaysia akan melancarkan lebih banyak produk inovatif yang memenuhi keperluan gaya hidup kepada pelanggannya yang berbilang generasi dan etnik.


Beliau berkata, pihaknya bercadang memperluaskan tawaran siri 'duduk' bagi apartmen pembangunannya yang mendapat sambutan hangat di Lembah Klang ke Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang.


"Rangkaian produk kumpulan sangat pelbagai yang kini merangkumi portfolio perindustrian dan komersial, di samping pangkalan produk kediaman yang besar.


"Kami akan terus mendisiplinkan kewangan di tengah-tengah persekitaran kos yang meningkat.


"Kami amat menitikberatkan usaha mengawal kos dengan memastikan reka bentuk dan proses dalaman dijalankan dengan cekap dan berkesan serta mengelak pembaziran," katanya.


Mengenai usaha pendigitalan EcoWorld Malaysia, Timbalan Presiden dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Liew Tian Xiong, berkata pemaju hartanah itu memulakan perjalanan pendigitalan pada 2017 yang menjadikan operasi dan usaha pemasarannya lebih berkesan.


Malah, beliau berkata, usaha itu juga memberi kelebihan dan amat bermanfaat kepada EcoWorld Malaysia, terutama ketika COVID-19 melanda.


Katanya, usaha mendigitalisasikan operasi membolehkannya berdepan cabaran dicetuskan impak penularan COVID-19 susulan pelaksanaan sekatan dan kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak itu.


"Usaha pemasaran kami tidak terencat, malah dengan platform digital membolehkan kami mendekati pelanggan. Pasukan kami tahu hendak menggunakan platform digital untuk mencapai pelanggan.


"Malah, sistem dalaman kami juga dipertingkatkan dengan proses digital. Menuju ke depan, kami mahu memanfaatkan sepenuhnya teknologi, data besar dan kecerdasan buatan (AI)," katanya.


Selain digitalisasi, Tian Xiong berkata, EcoWorld Malaysia mementingkan elemen kelestarian dalam setiap setiap pembangunannya dan akan terus menerapkan elemen berkenaan menuju ke depan.


Beliau berkata, pihaknya komited dalam memastikan pembangunannya menepati Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Dalam tempoh 10 tahun penubuhannya, EcoWorld Malaysia meraih pelbagai pencapaian cemerlang dengan menjadi antara 10 pemaju terbaik Anugerah Kecemerlangan Hartanah Malaysia The Edge sejak 2016 dan juga dinobatkan sebagai 'Best of the Best Employers - Malaysia' in AON's Best Employer Studies pada 2016 dan 2017.


Pada Disember 2020, EcoWorld Malaysia dimasukkan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) sebagai pengiktirafan kepada usaha kumpulan terhadap kelestarian dan amalan ekonomi, sosial dan tadbir urus yang baik.


Pemaju hartanah itu juga diterima sebagai peserta United Nations Global Compact (UNGC) berdasarkan komitmennya untuk menerapkan prinsip UNGC sebahagian daripada strategi, budaya dan operasi harian syarikat.


EcoWorld Malaysia mencatatkan jualan tertingginya RM3.84 bilion bagi tahun kewangan 2022, melepasi sasaran jualan ditetapkannya RM3.5 bilion bagi tahun itu serta mengatasi jualan rekod tertinggi dicatatkan pada tahun kewangan 2016 sebanyak RM3.82 bilion.


Empat taman perniagaan kumpulan iaitu Eco Business Parks I, II dan III di Iskandar Malaysia dan Eco Business Park V di Lembah Klang menutup tahun itu dengan jumlah gabungan jualan RM753.3 juta.


Malah, EcoWorld Malaysia juga merekodkan jualan RM1.35 bilion dalam empat bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023, lebih tinggi berbanding RM1.28 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun kewangan 2022 dan ia mewakili 38.5 peratus daripada sasaran jualan kumpulan bagi tahun kewangan 2023 sebanyak RM3.5 bilion.


Pendapatan masa hadapan EcoWorld Malaysia meningkat kepada RM4.03 bilion setakat 28 Februari 2023, menyediakan aliran tunai yang jelas dan keterlihatan pendapatan.


Sumber: Berita Harian


Commentaires


bottom of page