KUALA LUMPUR 7 Nov - Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) mengambil alih 10 bidang tanah berkeluasan 342.87 hektar berharga RM742.2 juta yang terletak di Semenyih, Selangor daripada Boustead Properties Bhd.
Ia merangkumi kemasukan anak syarikatnya, Mutiara Balau Sdn Bhd ke dalam dua perjanjian jual beli (SSA) bersyarat bagi memperoleh tanah itu.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, EcoWorld Malaysia berkata, pengambilalihan itu dijangka siap sepenuhnya pada separuh pertama 2025.
“Cadangan pengambilalihan tanah itu akan dibangunkan menjadi pembangunan kediaman dan komersial bercampur yang dikenali sebagai Eco Forest 2.
"EcoWorld Malaysia dan Boustead Properties akan menggunakan MBSB bagi melantik Eco World Project Management Sdn Bhd (EWPM), anak syarikat milik penuh EcoWorld Malaysia, sebagai pengurus pembangunan bagi pembangunan yang dicadangkan itu," katanya.
EcoWorld Malaysia berkata, cadangan pengambilan tanah berkenaan membolehkan kumpulan itu meningkatkan simpanan tanah kediamannya di Semenyih, memanjangkan hayat pembangunan perbandaran sedia ada, manakala cadangan pembangunan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan.
“Cadangan pengambilan tanah itu dijangka meningkatkan aset bersih kumpulan pada masa hadapan memandangkan potensi sumbangan keuntungan masa depan yang timbul daripada cadangan pembangunan itu.
"Kesan pengambilan tanah yang dicadangkan dan cadangan pembangunan terhadap penggearan kumpulan bergantung kepada campuran pembiayaan akhirnya yang akan digunakan oleh kumpulan itu,” katanya.
Sementara itu, untuk mengawal selia hak pihak sebagai pemegang saham Mutiara Balau dan merekodkan komitmen bagi melanggan saham dalam syarikat itu, EcoWorld Malaysia juga telah memeterai langganan serta perjanjian pemegang saham dengan Boustead Properties dan Mutiara Balau.
“Melalui perjanjian itu, EcoWorld Malaysia juga berpeluang menjalinkan kerjasama dengan Boustead Properties," katanya.
Sumber: Dagang News
Comentários