top of page

EcoWorld International kekal berhati-hati dalam pelancaran projek baharu


EcoWorld International Bhd

KUALA LUMPUR: EcoWorld International Bhd (EcoWorld International) mengekalkan pendekatan berhemat dalam pelancaran projek baharu di tengah-tengah cabaran pasaran hartanah global, dengan fokus utama pada penjualan stok siap dan pengoptimuman pulangan kepada pemegang saham.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2024, syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih rendah iaitu RM12.1 juta berbanding RM36.9 juta pada tahun sebelumnya.


Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, pengurangan ini dipacu oleh kerugian lebih rendah dalam usaha sama di United Kingdom (UK), penjimatan kos pentadbiran hasil inisiatif pengoptimuman, serta pengurangan perbelanjaan pemasaran bagi projek hampir terjual di Australia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng, berkata syarikat berjaya mengurangkan nilai stok siap yang belum terjual kepada RM290 juta, dengan pegangan efektif kumpulan berjumlah RM210 juta.


"Kami menyasarkan untuk menjual kesemua unit ini menjelang tahun kewangan 2025 bagi memastikan penjanaan tunai berlebihan sehingga RM500 juta untuk diedarkan kepada pemegang saham," katanya.


Dalam persekitaran yang dicabar oleh kadar faedah dan cukai duti setem yang tinggi di UK, EcoWorld International memberi keutamaan kepada penjualan stok siap berbanding melancarkan projek baharu.


Katanya, syarikat juga aktif memasarkan unit komersial yang disewa di lokasi utama bagi memaksimumkan nilai jualannya.


Mengenai pembangunan baharu, Leong Seng berkata syarikat hanya akan meneruskan pelancaran apabila keadaan pasaran lebih kondusif dan pulangan boleh dijangka dengan keyakinan lebih tinggi.


EcoWorld International mengumumkan dividen akhir sebanyak lima sen sesaham bagi tahun kewangan 2024, bersamaan RM120 juta, yang akan dibayar pada Januari 2025.


Ini menjadikan jumlah dividen bagi tahun berkenaan mencecah RM264 juta, termasuk dividen interim RM144 juta yang dibayar pada Julai lalu.


Pengagihan dividen ini selari dengan rancangan syarikat untuk mengedarkan sehingga RM500 juta kepada pemegang saham bagi tempoh 2024 dan 2025, memanfaatkan kedudukan tunai bersih RM335 juta serta hasil daripada penjualan unit stok siap.


Walaupun kos pembinaan di UK kekal stabil, permintaan pembeli yang lemah terus menjadi cabaran, terutama bagi pembeli rumah kedua yang terkesan dengan kenaikan kadar duti setem. Kadar faedah yang tinggi juga membebankan pelabur yang merupakan segmen penting pasaran hartanah syarikat.


Dengan kehadiran di UK dan Australia, EcoWorld International berhasrat mengekalkan tumpuan kepada strategi berhati-hati ini untuk memastikan kelestarian kewangan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.


Commentaires


bottom of page