KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan IOI Prima Property Sdn Bhd untuk mengambil alih tanah berkeluasan 163.40 hektar (403.78 ekar) di Kulai, Johor berharga RM211.065 juta.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia merancang untuk membangunkan tanah itu menjadi taman perniagaan yang akan dikenali sebagai Eco Business Park VI dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.58 bilion bagi memenuhi keperluan perniagaan perindustrian sederhana dan ringan.
"Ini adalah pengambilalihan yang sangat bertepatan yang akan membolehkan kumpulan meningkatkan portfolio perindustrian kami di Iskandar Malaysia. Jualan di Eco Business Park kami telah menyaksikan pertumbuhan eksponen dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun tiga tahun sebanyak 51 peratus yang direkodkan dari tahun kewangan 2020 hingga 2022.
"Trajektori menaik tersebut telah berterusan tahun ini dengan RM838 juta dicapai dalam masa tujuh bulan semasa tahun kewangan 2023 daripada empat Eco Business Park serta ini mewakili 111 peratus daripada jualan tahun penuh tahun kewangan 2022 sebanyak RM753 juta menerusi projek perindustrian kami, yang merupakan rekod tertinggi pada masa itu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah.
Khi Wah berkata, kumpulan itu percaya bahawa momentum pertumbuhan di Iskandar Malaysia, khususnya, akan berterusan tanpa henti kerana ia disokong oleh peningkatan infrastruktur yang meluas seperti pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura yang sedang berjalan.
"EcoWorld Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada perkembangan berita positif sekitar Iskandar Malaysia memandangkan ia mempunyai banyak projek perbandaran di sana seperti Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Summer dan Eco Tropics.
"Jumlah pegangan tanah perindustrian kami berikutan pengambilalihan terkini telah menokok kepada 977.72 hektar (2,146 ekar), yang mana 666.51 hektar (1,647 ekar) terletak di Iskandar Malaysia. Kami yakin pengambilalihan ini memberi petanda baik kepada prospek pertumbuhan dan pendapatan kumpulan pada masa depan," kata Khim Wah.
Pada penutup hari ini, saham EcoWorld naik satu sen kepada RM1.02 dengan 4.34 juta saham bertukar tangan.
Sumber: Berita Harian
EcoWorld beli tanah RM211 juta di Kulai
Comments