top of page

Econpile jangka dapat lebih banyak projek besar


Econpile jangka dapat lebih banyak projek besar
Econpile Holdings Bhd

Econpile jangka dapat lebih banyak projek besar

KUALA LUMPUR: Pakar cerucuk dan kerja-kerja asas, Econpile Holdings Bhd akan menumpukan pada tender berkaitan projek pembinaan termasuk mengukuhkan kedudukannya di Kemboja dan membuat pelaburan dengan jangkaan memperoleh lebih banyak projek besar untuk memacu syarikat ke hadapan.


Pengarah Urusan Kumpulan, The Cheng Eng serta Ketua Pegawai Eksekutif, Pang Sar dalam Laporan Tahunan Syarikat 2023 berkata, dengan pemilikan rumah masih menjadi keutamaan di seluruh negara, tender untuk projek pembangunan hartanah masih berlangsung walaupun jumlah kontraknya agak kecil memandangkan pemaju mengamalkan pandangan yang pragmatik.


"Kami terus menerima pelawaan untuk menyertai tender projek pembangunan bercampur di Lembah Klang dan mahu kekal berdaya saing.


"Kami juga sedang meneroka peluang terpilih dalam projek mega awam bagi menyokong pemacuan pembangunan infrastruktur Malaysia yang berterusan," kata mereka.


Mengenai pengukuhan Econpile di Kemboja, syarikat itu yakin tentang prospek pertumbuhan jangka panjang selaras dengan pengembangan pemodenan dan pembandaran di negara itu.


Ini dijangka merangsang permintaan untuk kerja-kerja cerucuk dan asas pada masa hadapan.


"Pandangan positif kami terhadap pertumbuhan di negara itu adalah sejajar dengan kejayaan kami dalam mendapatkan projek kedua syarikat di Phnom Penh semasa tahun kewangan," katanya.


Mengenai pelaburan, Cheng Eng dan Pang Sar berkata syarikat itu merancang untuk memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak lebih kurang RM10 juta bagi membeli jentera baharu memandangkan pertumbuhan sektor pembinaan akan datang, akan disokong oleh matlamat negara dalam melancarkan projek infrastruktur yang lebih berimpak seperti Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang 3, Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.


"Secara khusus, kami mahu memperoleh kemampuan pelantar penggerudian berkapasiti besar untuk mengambil kerja cerucuk yang mencabar.


"Pembinaan cerucuk dalam berdiameter besar sentiasa menjadi salah satu kelebihan daya saing kami yang paling ketara berbanding kontraktor lain," kata mereka lagi.


Sumber: Berita Harian


Econpile jangka dapat lebih banyak projek besar

Comments


bottom of page