top of page

Duka 'bandar terbengkalai'


KEADAAN rumah di sekitar Lembah Beringin yang kini ‘dikuasai’ semak-samun.

Kuala Lumpur: "Kena pergi 10 hingga 15 kilometer (km) untuk isi minyak (petrol) di Tanjung Malim. Kalau nak sampai ke sana pun memang kena standby (sediakan) minyak," kata pekerja swasta, Khairul Anwar.


Khairul yang menetap di Lembah Beringin, Hulu Selangor berkongsi masalah dihadapi dia dan penduduk kawasan berkenaan yang tidak mempunyai infrastruktur diperlukan.


"Kebanyakan orang luar masuk ke Lembah Beringin nak cari minyak tapi petrol pump pun tak ada dekat sini," katanya ketika ditemui wartawan TV9 di sini, baru-baru ini.


Untuk rekod, Lembah Beringin kini menjadi 'bandar terbengkalai' selepas pembangunan dirancang di kawasan berkenaan tidak dilaksana seperti dijanjikan.


Ketika promosi jualan 2,300 unit rumah sekitar tahun 90-an, kawasan itu dicanang pihak pemaju akan menjadi bandar tumpuan dengan pembinaan lapangan terbang baharu.


Anuar Syahadad pula berkata, balai bomba terdekat terletak kira-kira 20 km manakala balai polis pula sejauh 9 km.


"Kalau ada kemalangan, memang ambil masa lama untuk ambulans sampai. Pernah sekali anak saya kemalangan, ambil masa dua jam (ambulans sampai). Ini memang masalah kami (penduduk) di sini," katanya.


Peniaga, Alviah Sheikh Mustafa pula berkata, dia terpaksa ke Bukit Beruntung yang terletak kira-kira 18 km dari rumahnya untuk membeli bahan mentah.


"Selain itu, kami terpaksa ke Rawang dan Tanjung Malim untuk beli barang keperluan. Memang kos tinggi sebab jauh," katanya.


Pengerusi Persatuan Penduduk Lembah Beringin, Adlum Radzi pula berkata, jalan utama dan alternatif yang berlopak mengundang bahaya kepada pengguna.


"Jalan dibiarkan berlubang, bahayakan pengguna. Laluan ini bukan hanya untuk penduduk sahaja tetapi pengguna lain yang menjadikannya jalan pintas. Bila tidak mahir jalan ini ditambah jalan rosak, risiko berlaku kemalangan tinggi," katanya.


Sementara itu, tinjauan dilakukan wartawan TV9 mendapati kawasan itu terbiar dan tidak terurus.


Pemerhatian juga mendapati kawasan itu dipenuhi rumah terbengkalai selain kekurangan infrastruktur asas seolah-olah menafikan hak penduduk.


Kemudahan asas di kawasan itu hanya surau kecil dan sekolah rendah yang berkongsi bangunan dengan sekolah agama.


Tinjauan juga mendapati, ratusan rumah yang sepatutnya dihuni penduduk, berakhir dengan jalaran tumbuhan tidak ubah bagai 'hutan batu'.


Untuk rekod, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkategorikan Lembah Beringin yang terletak kira-kira 70 km dari ibu negara sebagai projek terbengkalai.


Sumber: Harian Metro

44 views

Comments


bottom of page