top of page

Dua tahun projek tak siap


Projek jajaran lebuh raya pakej kedua Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang menghubungkan Air Itam di Lebuh Raya Thean Teik ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, yang didakwa belum dimulakan walaupun sudah dua tahun majlis pecah tanah dijalankan. NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI

Georgetown: Sudah dua tahun berlalu, tetapi masih tiada perkembangan terkini pembinaan projek jajaran lebuh raya pakej kedua Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang yang menghubungkan Air Itam di Lebuh Raya Thean Teik ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini.


Malah sejak majlis pecah tanah dilakukan pada November 2019, pengguna jalan raya terus mengalami kesulitan di kawasan itu berikutan keadaan laluan kurang baik.


Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk dan pengguna jalan raya mengenai masalah keselamatan yang timbul ketika melalui laluan berkenaan.


Berikutan itu, beliau merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang bagi tindakan lanjut dan mendapatkan status terkini projek terbabit.


Katanya, Soon Siang mendakwa projek berkenaan belum dimulakan sejak majlis pecah tanah disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.


"Pihak berkenaan mendakwa kerja pembinaan jalan raya yang diadakan sekarang di kawasan itu adalah projek swasta, bukan di bawah kerajaan negeri.


"Kami keliru mengenai status projek terbabit dan adakah tidak akan dilaksanakan walaupun majlis pecah tanah sudah berlangsung atau ia sekadar omong kosong?" katanya di sini.


Sehubungan itu, Tong Keong menggesa kerajaan negeri supaya memberi penjelasan mengenai status projek berkenaan.


"Sebelum ini, Setiausaha Politik Ketua Menteri Teh Lai Heng mendakwa, kerajaan negeri sudah memberi milik tanah bernilai RM208 juta kepada Consortium Zenith Construction sebagai bayaran kepada kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi projek tiga jalan utama.


"Kenyataan jelas menunjukkan bahawa Teh mengakui kerajaan negeri sudah membuat pembayaran itu dan kini rakyat Pulau Pinang ingin tahu, mengapa projek berkenaan masih tidak dijalankan?" katanya.


Sementara itu pengguna jalan raya, Amir Shahdi Hamid, 40, berkata dia pernah hampir terbabas di kawasan itu kerana terlanggar penghadang plastik yang tidak disusun rata.


Dia yang tinggal di Air Itam berkata, tidak mengetahui mengenai projek terbabit dan melalui jalan berkenaan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi ke rumah mentuanya di kejiranan berhampiran.


"Sudah lama penghadang ini diletakkan di laluan ini dan ia dikhuatiri membahayakan nyawa pengguna jalan raya khususnya penunggang basikal dan motosikal," katanya.


Tinjauan mendapati, terdapat penghadang jalan di sepanjang laluan kira-kira lebih satu kilometer.


Sumber: Berita Harian

19 views

Comments


bottom of page