KANGAR: Dua daripada lima projek ‘sakit’ di negeri ini akan diselesaikan pelaksanaannya dalam masa terdekat dengan peratusan pembinaan hanya berbaki sekitar tiga peratus.
Dua projek tersebut adalah membabitkan pembinaan sebuah Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Loji Bekalan Air Kem Oran.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, tiga lagi projek ‘sakit’ dan masih dalam peringkat pelaksanaan adalah Kolej Vokasional Kangar, Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Bukit Chabang dan Nat Berbumbung, Bukit Keteri.
“Hasil dapatan yang kita perolehi mendapati dua daripada lima projek ‘sakit’ akan diselesaikan dalam masa terdekat manakala baki tiga projek lagi sedang dalam peringkat pelaksanaannya.
“Perkembangan kerja-kerja pembinaan membabitkan semua projek-projek ‘sakit’ ini masih bergerak dan kita berharap selepas ini tiada lagi masalah dihadapi,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan berkenaan, Mohd. Shukri berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama menteri terlibat bagi melihat semula pelaksanaan projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.
Katanya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu meneliti semua projek-projek berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan dengan lancar.
“Bantuan daripada kerajaan Persekutuan akan memudahkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Tambah Mohd Shukri, pihaknya juga amat menghargai kerjasama erat yang dijalinkan dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan setiap pihak dapat memberi keutamaan terhadap rakyat di negeri ini.
“Kita harap segala perancangan dapat berjalan lancar walaupun pentadbiran kerajaan pusat dan kerajaan negeri berbeza,” katanya.
Sumber: Utusan
Comments