KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menyerahkan dua projek pembinaan hopsital di Perak iaitu Hospital Seri Iskandar (HSI) dan Hospital Seri Manjung (HSI) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang berlangsung di Bandar Iskandar Perak, hari ini.
Hadir pada sesi penyerahan ialah Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata pembinaan HSI ditapak seluas 26.783 hektar dengan nilai RM153.18 juta itu bakal memberi kemudahan kepada penduduk di Bandar Seri Iskandar apabila tidak perlu ke Hospital Changkat Melintang, Bota yang terletak kira-kira 16.1 kilometer untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
“Lokasi HSI amat strategik yang dibangunkan bersebelahan Lebuhraya Ipoh-Lumut, berdekatan kawasan perniagaan Bandar Seri Iskandar dan Bandar Universiti Petronas.
Pembinaan HSI juga memudahkan penduduk sekitar kerana tidak perlu lagi berulang ke Bota mendapatkan rawatan.
“Ini sekali gus membantu Hospital Changkat Melintang memberikan perkhidmatan lebih selesa kepada pesakit setempat kerana fasiliti sedia ada di hospital tersebut tidak lagi dapat menampung pertambahan jumlah pelanggan yng semakin meningkat untuk menerima rawatan dan perubatan,” kata Alexandar Nanta dalam kenyataan medianya.
Skop penyiapan projek HSI merangkumi pembinaan Blok Utama Hospital tiga tingkat berkapasiti 76 katil, Blok Mekanikal dan Elektrikal, tempat letak kereta berbumbung, blok sokongan seperti pondok pengawal, rumah sampah domestik, klinikal serta garaj ambulan.
Tarikh milik tapak adalah pada 29 Oktober 2021 dan Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek itu telah dikeluarkan pada 28 Oktober 2024 mengikut jadual tarikh siap asal.
Pelaksanaan pembinaan projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70%.
HSI dijangka berkeupayaan meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Bandar Seri Iskandar dan Daerah Perak Tengah melalui fasiliti perkhidmatan lawatan pakar (visiting specialist’s services) dari hospital berdekatan seperti Hospital Raja Perempuan Bainun, Hospital Teluk Intan dan Hospital Manjung.
Selain itu, HSI juga bakal menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan berdekatan di dalam Daerah Perak Tengah.
Projek penyerahan kedua ialah pembinaan blok tambahan Hospital Seri Manjung (HSM), Perak. Pembinaan blok tambahan HSM dibuat secara reka dan bina di bawah seliaan Pengarah JKR Negeri Perak selaku Pegawai Penguasa dengan kos kontrak semasa (sehingga 18 November 2024) bernilai RM65.14 juta. Tarikh milik tapak adalah pada 24 November 2020 dan Perakuan Siap Kerja (CPC) bagi pembinaan projek ini dikeluarkan pada 27 Ogos lalu.
Skop penyiapan projek blok tambahan hospital ini merangkumi pembinaan 22 Klinik Pakar, pusat jagaan harian (16 observation beds, 10 recliner), endoscope (2 suites dan 1 bronchoscopy room), empat dewan bedah, Unit Respiratori dan Hemodinamik (RHU), Wad Psikiatri (20 katil), Wad Pelbagai Disiplin (20 katil) dan jambatan penghubung berbumbung ke bangunan hospital sedia ada.
Selain itu, turut dilaksanakan kerja menaik taraf bekalan elektrik di HSM serta peralatan perubatan. Pelaksanaan pembinaan projek ini turut menggunakan kaedah IBS dengan pencapaian skor IBS melebihi 70%.
Penaik tarafan infrastruktur HSM dijangka dapat meningkatkan taraf kesihatan penduduk sekitar dengan akses kepada perkhidmatan pakar seperti perkhidmatan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), pergigian dan psikiatri yang sekaligus dapat mengurangkan tempoh temujanji bagi pesakit yang memerlukan rawatan.
“KKR ingin merakamkan penghargaan kepada KKM atas kepercayaan serta kerjasama dalam semua aspek pembinaan, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya. Segala pengalaman dan pengajaran amat berguna untuk dijadikan panduan dalam pelaksanaan projek sebegini di masa hadapan ke arah pengurusan projek yang terbaik dari konteks kualiti, kos dan masa.
“KKR turut menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa,” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comments