top of page

Dua projek besar selatan Thai: Kerajaan fokus pengukuhan sektor pelabuhan, logistik



KERAJAAN akan memberikan fokus utama kepada pengukuhan kelebihan sedia ada dalam sektor pelabuhan dan logistik negara.


Demikian ditegaskan Kementerian Pengangkutan bagi mendepani saingan inisiatif berskala besar di selatan Thailand iaitu Jambatan Darat Chumpon-Ranong dan juga Terusan Segenting Kra oleh kerajaan Thailand.


Menurut Kementerian Pengangkutan, pada masa ini prestasi pelabuhan negara terbukti dapat memberi jaminan business certainty dan dedahan risiko perniagaan yang lebih rendah berbanding percubaan perkhidmatan baharu di selatan Thailand.


“Daripada reputasi dan asas yang baik ini, pelabuhan-pelabuhan Persekutuan akan terus giat melaksanakan usaha-usaha pembangunan pelabuhan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.


Kementerian itu menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai persediaan kerajaan jika projek Terusan Segenting Kra, Thailand dilaksanakan.


Kementerian Pengangkutan menambah, usaha-usaha itu memfokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan dan produktiviti pelabuhan selain penyediaan kapasiti dan infrastruktur pelabuhan yang mencukupi untuk menampung keperluan semasa dan masa hadapan.


Selain itu katanya, pembangunan ke arah pelabuhan hijau selaras dengan penekanan terhadap prinsip ESG.


Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan menambah, bagi tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2023, secara kolektifnya syarikat-syarikat pengendali (port operators) bagi kesemua tujuh pelabuhan Persekutuan utama telah menjana pendapatan RM32.46 bilion.


“Pendapatan syarikat pengendali adalah amat bergantung kepada perkhidmatan pelabuhan yang ditawarkan serta jumlah kargo yang dikendalikan.


“Syarikat pengendali adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan perbelanjaan modal (CapEx) sepanjang tempoh konsesi bagi membangunkan pelabuhan berdasarkan komitmen yang telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi.


Harus ditekankan ialah segala kos pembangunan pelabuhan adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengendali melalui pelbagai sumber, termasuk daripada hasil pendapatan yang diperoleh,” katanya.


Justeru tambahnya, Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan sebarang peruntukan untuk pembangunan di tujuh pelabuhan Persekutuan utama tersebut.


Sumber: WilayahKu

Comments


bottom of page