KUALA LUMPUR 9 Jan.- Dua maut manakala lima lagi tidak sedarkan diri dipercayai terhidu gas beracun ketika sedang membaiki kapal dalam kejadian di Sibu, Sarawak petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.28 petang dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah serta dibantu oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) BBP Sibu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, kita mendapati tujuh pekerja warga asing telah pengsan di bahagian bawah kapal tersebut. Operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan bantuan alat pernafasan dan tali untuk turun dan menjumpai mangsa yang pengsan.
“Kesemua mangsa berjaya dinaikkan ke bahagian atas kapal pada pukul 7.40 malam dan dibawa ke Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dua mangsa yang meninggal dunia merupakan warga Bangladesh manakala lima lagi individu adalah warga Indonesia termasuk seorang Bangladesh.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Comments