KUALA LUMPUR – Sebanyak RM392 bilion diperlukan untuk melaksanakan 365 projek Rancangan Tebatan Banjir, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, anggaran peruntukan terbabit dikenal pasti melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi kajian mengikut lembangan sungai utama sebagai pendekatan bukan struktur, bertujuan untuk menyediakan perancangan dan penyelesaian banjir secara menyeluruh.
“Sekiranya kerajaan mahu membelanjakan keseluruhan peruntukan, satu tahun kementerian tak ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jadi disebabkan itu, Kementerian berpuas hati dengan projek yang telah dilaksanakan misalnya projek terowong SMART di Kuala Lumpur yang telah disiapkan semenjak tahun 2007 dengan membelanjakan sebanyak RM1.97 bilion Sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong ini telah diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan berjaya mengurangkan risiko banjir di pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang ingin tahu tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan yang berkaitannya yang telah diusahakan sejak dari dahulu.
Mengulas lanjut Fadillah memaklumkan, berdasarkan kajian oleh JPS pada tahun 2012, jumlah kerugian yang berjaya diselamatkan untuk jumlah pengaktifan lencongan banjir di terowong SMART adalah bernilai lebih daripada RM4.3 bilion.
Sumber: Kosmo!
Comments