KUALA LUMPUR, 12 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, yang antara lain membolehkan mahkamah memerintah pihak melakukan pencemaran membayar kos bagi memulihkan sistem bekalan air.
RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas sesi penggulungan perbahasan peringkat dasar serta jawatankuasa oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bertujuan meminda Seksyen 121 untuk menjadikan suatu kesalahan jika mana-mana orang mencemarkan sumber air yang menyebabkan berlakunya pemberhentian sementara atau penutupan sistem bekalan air.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan penalti dinaikkan sebagai suatu langkah pencegahan memandangkan pencemaran sistem bekalan air akan menjejaskan sebilangan besar pengguna, selain memasukkan subseksyen baharu (1A) dalam Seksyen 61 Akta 655 untuk melarang pelepasan efluen terlarang dan apa-apa benda lain ke dalam tangki septik.
Terdahulu, mengenai statistik kecurian air, Fadillah berkata sejumlah 715 kes di bawah Seksyen 123 Akta 655 telah diambil tindakan penguatkuasaan dan dibuka kertas siasatan dari 2008 hingga 2024.
“Hingga November lepas, sebanyak 100 kes telah dibawa dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 123 (1) dengan jumlah denda sebanyak RM1.5 juta,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengambil maklum setiap cadangan untuk menambah baik serta memperkukuh saluran aduan berkaitan air dan pembetungan termasuk mewujudkan pasukan petugas di bawah Suruhanjaya Perkhidmtan Air Negara (SPAN).
“SPAN ketika ini sudah mewujudkan e-aduan bagi perkara berkaitan air dan pembetungan.
Bagaimanapun, kita ambil cadangan itu untuk memperkukuh supaya aduan (berhubung isu air dan pembetungan) dapat sampai dengan lebih mudah dan tindakan susulan diambil segera,” katanya.
Sumber: Selangor Kini
Comments