top of page

Depoh LRT di Pulau Silikon dijangka siap akhir 2025


Kerja-kerja menambak dijalankan di tapak projek Pulau Silikon. AAA

BAYAN LEPAS - Tanah untuk depoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Silikon dijangka siap dan diserahkan kepada pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut, MRT Corporation menjelang akhir tahun 2025.


Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn Bhd, Datuk Seri Farizan Darus berkata, setakat ini, 28 hektar daripada keseluruhan 931 hektar pulau yang dirancang telah ditebus guna sejak dimulakan pada Oktober tahun lalu.


Kata beliau, fasa pertama pembangunan Pulau Silikon melibatkan kawasan seluas 504 hektar.


Menurutnya, daripada tanah yang telah ditebus guna, 2.4 hektar telah disediakan untuk depoh manakala kerja tebus guna untuk baki kawasan depoh akan diteruskan seperti dirancang bagi memenuhi jadual penyerahan.


"(Seluas) 28 hektar tersebut telah dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Mulai tahun 2025, kami menyasarkan kadar tebus guna sebanyak 121.4 hingga 161.9 hektar setiap tahun.


"Jambatan sementara yang menghubungkan Pulau Silikon dengan kawasan pulau akan siap pada Mac 2025 untuk memudahkan akses logistik bagi kerja-kerja infrastruktur di tapak.


“Jambatan sementara ini juga boleh digunakan sebagai laluan kerja-kerja pembinaan di Pulau Silikon sehingga jambatan kekal dibuka bagi kegunaan awam,” katanya pada sidang akhbar di Lawatan Media di Tapak Pulau Silikon di sini pada Selasa.


Tambah Farizan, jambatan kekal empat lorong sehala akan disiapkan dalam dua fasa.


“Fasa pertama jambatan kekal akan dibuka untuk trafik dua hala menjelang pertengahan 2027 manakala baki jambatan akan siap sepenuhnya menjelang akhir 2028.


"Selain itu, kita mengguna pakai sistem saliran menegak pra-fabrikasi (PVD) untuk mempercepatkan pemadatan tanah dan menstabilkan tapak serta pembinaan jambatan besi sementara.


"Dengan penggunaan kaedah saliran menegak dan lima kapal pengangkut pasir, kami jangka dapat mempercepatkan kerja-kerja tambakan sebanyak 30 peratus," katanya.

Farizan menambah, pencapaian itu merupakan langkah penting ke hadapan dalam visi kerajaan negeri untuk pembangunan bandar mampan dan mobiliti hijau.


"Jika semuanya berjalan lancar, kami jangka industri pertama dapat beroperasi pada 2027.


Keseluruhan kerja tambakan untuk fasa pertama dijangka siap pada Jun 2030,” jelasnya.


Pada April lalu, Kerajaan Pulau Pinang menyatakan bahawa kerja-kerja tambakan untuk projek Pulau Silikon berjalan lancar dengan kira-kira enam hektar ditambak sejak kerja-kerja bermula pada Oktober lalu.


Sumber: Sinar Harian

Σχόλια


bottom of page