top of page

Dendam mungkin jadi motif kontraktor binaan maut ditembak


Dendam mungkin jadi motif kontraktor binaan maut ditembak

PULAU PINANG 15 Jan. – Polis tidak menolak motif dendam menjadi punca seorang kontraktor binaan, Muhammad Nazrulhisyam Mohamed Meera maut ditembak dalam kejadian di Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Georgetown di sini awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, perkara itu susulan terdapat sebanyak 15 kesan tembakan pada tubuh mangsa termasuk di bahagian kepala dan dada.


Menurutnya, polis petang semalam juga menahan seramai tujuh lelaki berusia antara 20 hingga 48 tahun termasuk bapa saudara mangsa bagi membantu siasatan.


Tambah beliau, mereka yang ditahan turut menjalani ujian saringan air kencing berikutan polis menerima maklumat awal kejadian tersebut mungkin melibatkan dadah.


“Hasil saringan air kencing mendapati empat daripada mereka termasuk bapa saudara mangsa positif dadah dan mereka direman enam hari bermula semalam sehingga Sabtu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam semalam, Muhammad Nazrulhisyam, 27, mati ditembak dari jarak dekat iaitu kira-kira tiga meter oleh seorang pembonceng motosikal.


Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai 'Syam Sado' dikatakan sedang berbual dengan enam rakan termasuk bapa saudaranya di tempat letak kenderaan di bawah flat berkenaan.


Bagaimanapun, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba muncul dari arah belakang mangsa sebelum pemboncengnya turun dan melepaskan tembakan.



Comments


bottom of page