top of page

DBKL tingkatkan ciri keselamatan Kolam Biru projek RoL


Projek pengindahan Sungai Nadi Kehidupan (RoL) yang berada di kawasan pertembungan di antara Sungai Klang dan Sungai Gombak berhampiran Masjid Jamek

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti kaedah terbaik bagi meningkatkan ciri keselamatan terhadap kawasan Kolam Biru di Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) di ibu kota ini, susulan insiden kanak-kanak terjatuh, yang tular sejak Khamis.


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata sebagai langkah sementara ketika ini DBKL sudah menutup bahagian kolam yang terdedah dan tidak dipagar itu, menggunakan papan platform selain meletakkan penghadang jalan di kawasan terbabit.


"Bahagian kolam yang dikatakan 'berlubang' dan tidak diletakkan platform dan pagar itu bukannya rosak, sebaliknya memang direka bentuk seperti itu bagi membolehkan pengunjung menikmati dan merasai sendiri kebersihan sampel air sungai hasil projek RoL," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi 47 saat memaparkan aksi kanak-kanak berlari dan jatuh ke dalam kolam paras buku lali itu, disertai kapsyen yang memberi bayangan kanak-kanak tersebut berisiko untuk jatuh ke dalam sungai yang terdapat di bawah kolam berkenaan.


Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan dan netizen yang mempertikai dan menzahirkan kebimbangan berkenaan reka bentuk kolam tersebut, yang dilihat mampu mengancam keselamatan pengunjung.


Kolam Biru yang berada di kawasan pertembungan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak merupakan sebahagian daripada komponen projek RoL, dibuka kepada orang ramai pada 2017 sebagai tarikan pelancong di Kuala Lumpur.


Sementara itu, Shahidan berkata, DBKL akan membantu memperbaiki kerosakan bumbung yang tercabut melibatkan empat blok Pangsapuri Taman Melati di sini, disebabkan angin kencang dan hujan lebat petang semalam.


"Situasi ini termasuk kategori bencana, yang mana ada diperuntukkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) semasa kejadian banjir tempoh hari," katanya sambil menambah jumlah kos baik pulih masih diteliti.


Beliau berkata, DBKL juga akan menguruskan penempatan sementara mangsa membabitkan 40 unit pangsapuri berkenaan, sehingga kerja baik pulih selesai.


Semalam beberapa gambar kejadian pokok tumbang dan bumbung terbang di Taman Melati, Gombak tular di media sosial.


Terdahulu Shahidan menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM40,000 oleh DBKL kepada 200 golongan asnaf dan miskin di Parlimen Batu, dengan masing-masing menerima RM200 sempena Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 1 Feb depan. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page