KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mengenakan moratorium dua tahun ke atas semua projek pembangunan, termasuk yang sudah menerima perintah pembangunan (DO) di seluruh ibu negara.
Perkara itu dicadangkan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA +SD) yang mewakili 74 persatuan daripada 10 kejiranan sekitar ibu kota kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, bertarikh 4 September lalu.
Pengerusi KLRA +SD, Tan Booi Charn, mencadangkan tempoh moratorium dikenakan bagi membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula kesesuaian projek berlandaskan ciri pembangunan mampan, terutama projek besar berkepadatan tinggi, membabitkan pemusnahan kawasan hijau dan di tanah tinggi serta cerun curam.
Katanya, cadangan itu antara lain bagi membolehkan kerja baik pulih dan menaik taraf infrastruktur serta kemudahan awam dibuat bagi memastikan kapasitinya selari pembangunan semasa dan akan datang.
"Syor moratorium ini juga bertujuan melengkapkan pemetaan dan audit utiliti di bawah tanah dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Bekerjasama dengan pakar, golongan profesional dan penduduk setempat kerana mereka lebih arif dan prihatin dalam subjek berkait rapat dengan kediaman mereka," katanya.
Kejadian lubang benam di Jalan Masjid India di sini, baru-baru ini, dilapor berpunca daripada faktor geografi dan struktur tanah kawasan itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata, struktur tanah berbatu kapur di situ mempengaruhi pergerakan air bawah tanah, selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan mengakibatkan tanah jerlus.
Sementara itu, Booi Charn berkata, faktor keperluan membangunkan rumah mampu milik tidak wajar dijadikan alasan untuk meningkatkan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur.
Katanya, keadaan itu sebaliknya perlu diselesaikan melalui kajian terperinci dan holistik, selain mahu Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan, dipatuhi sepenuhnya.
Mengenai pembangunan semula, beliau berkata, DBKL perlu menghentikan mana-mana pemaju daripada mendekati pemilik rumah sedia ada sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum mendapatkan maklumat berkaitan hak dalam inisiatif berkenaan bagi memastikan tiada yang ditindas.
"Ia (pelaksanaan projek pembangunan semula) juga perlu mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada pemilik rumah. DBKL dicadang mewujudkan agensi baru yang bertanggungjawab dalam pembangunan semula.
"Agensi ini bertanggungjawab menyediakan garis panduan teliti untuk pemaju dan pemilik rumah, memastikan penguatkuasaan garis panduan berkenaan dan pelan pembangunan semula mematuhi hasrat kemampanan," katanya.
Mengulas lanjut, katanya, DBKL juga perlu menetapkan had yang boleh diukur bagi kapasiti pembawaan KL (KL carrying capacity) untuk mengelakkan pembangunan melampau.
"Ia dilakukan menerusi penetapan had atau bilangan maksimum orang yang boleh berada (mendiami) dalam sesuatu kawasan, memandangkan kapasiti ruang, utiliti, kemudahan awam, ruang dan lain-lain," katanya.
Sumber: Berita Harian
DBKL digesa tangguh projek pembangunan di ibu negara selama 2 tahun
Comments