top of page

Dana RM2.3 bilion disediakan AFA Prime bagi kerja atasi banjir di Lebuhraya KL-Karak


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 28 Nov - AFA Prime Bhd, syarikat konsesi lebuh raya memperuntukkan sejumlah RM2.3 bilion bagi kerja-kerja pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur (KL)-Karak serta Projek Mitigasi Banjir di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).


Projek pelebaran lebuh raya itu dengan peruntukan sejumlah RM2.1 bilion itu akan dimulakan pada Januari 2025 yang bertujuan mengatasi isu kesesakan serta cabaran keselamatan di lebuh raya paling sibuk di Malaysia.


Projek selama 48 bulan itu itu akan meningkatkan kecekapan perjalanan, mengurangkan risiko kemalangan dan merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang Pantai Timur dengan usaha penambahbaikan itu melibatkan pelebaran dari tiga lorong dua hala kepada empat lorong dua hala dengan terowong dua lorong baharu dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah.


Ia juga melibatkan penambahbaikan dari dua lorong dua hala kepada tiga lorong dua hala dari Genting Sempah ke Plaza Tol Bentong serta pengenalan langkah keselamatan seperti penstabilan cerun, sistem pengurusan trafik yang dipertingkatkan, dan bahu jalan lebih luas untuk menyokong pengurusan insiden lebih baik.


Kumpulan itu juga memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi Projek Mitigasi Banjir LPT1 bagi meningkatkan daya tahan lebuh raya semasa cuaca buruk dengan ia dijangka siap pada Disember 2028.


Projek itu memberi tumpuan kepada peningkatan sistem saliran untuk menguruskan jumlah air yang lebih besar dengan berkesan serta pemanjangan serta pengukuhan culvert untuk meningkatkan aliran air dan integriti struktur.


Selain itu, ia juga melibatkan kerja-kerja peninggian jalan di kawasan yang mudah banjir untuk mencegah takungan air dan mengekalkan akses jalan serta penstabilan cerun dan tambakan untuk mencegah hakisan tanah dan tanah runtuh.


Pengerusi AFA Group, Tan Sri Azmil Khalili Khalid berkata, penubuhan AFA merupakan langkah penting dalam kerjasama pihaknya dengan kerajaan bagi mempertingkatkan infrastruktur dan daya tahan ekonomi Malaysia. 


Katanya, misi kumpulan adalah untuk membina rangkaian pengangkutan yang bukan sahaja memperkukuhkan kesalinghubungan negara tetapi juga memajukan komuniti setempat dan mendorong pembangunan lestari.


"Inisiatif untuk memulakan projek Pelebaran KL-Karak dan Mitigasi Banjir LPT1, AFA bukan sahaja memenuhi keperluan infrastruktur semasa, tetapi juga membina asas untuk rangkaian pengangkutan yang tahan lasak dan cekap yang memenuhi permintaan masa depan.


"Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh kami dalam mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan kelestarian ekosistem yang kami operasikan.


"Dengan menggabungkan inovasi dalam kejuruteraan dengan penyelesaian praktikal, kami nekad untuk menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page