KUALA LUMPUR- Citaglobal Bhd. (Citaglobal) menandatangani Perjanjian Rangka Kerja dengan Pelabuhan Baku, Azerbaijan untuk membina kemudahan solar panel 5.4 megawat, yang merupakan projek tenaga boleh diperbaharui komersial pertama yang mengintegrasi tenaga solar dengan teknologi terkini Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Projek berkenaan disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga selama 21 tahun yang memberi jaminan tarif tetap sepanjang tempoh tersebut.
Ia menyediakan Pelabuhan Baku dengan jangkaan kos tenaga dan melindunginya daripada ketidaktentuan harga grid pada masa depan.
Citaglobal dalam kenyataannya berkata, projek berkenaan akan diketuai Tiza Green Energy LLC, sebuah syarikat usahasama di antara Tiza Global Azerbaijan LLC dan Citaglobal Renewable Energy Sdn. Bhd.
“Perjanjian ini menandakan pencapaian besar dalam memajukan landskap tenaga boleh diperbaharui Azerbaijan dengan penyelesaian inovatif yang mengintegrasikan teknologi solar dan BESS,” kata Tan Sri Dr. Norza Zakaria, Presiden Tiza Green Energy LLC dan Pengerusi Eksekutif serta Presiden Citaglobal Berhad.
Manakala Ketua Pengarah Pelabuhan Baku, Dr. Taleh Ziyadov, berkata, projek itu bukan sahaja dapat memaksimumkan penggunaan tenaga bersih di tapak tetapi juga pada tarif yang berdaya saing.
“Sebagai Pelabuhan Hijau pertama di rantau Kaspia sejak 2019, kami telah melaksanakan langkah ketara untuk meminimumkan impak alam sekitar. Strategi kami adalah untuk mencapai sifar pelepasan menjelang 2035, dan saya yakin bahawa kerjasama dengan Tiza Green Energy akan meletakkan kami sebagai peneraju dalam amalan mampan, dengan mengurangkan pelepasan Skop 2 kami secara signifikan.
“Integrasi teknologi solar dan BESS menawarkan keupayaan pengurusan tenaga yang belum pernah dicapai sebelum ini, memperkukuh komitmen kami terhadap penjagaan ekonomi dan alam sekitar,” katanya.
Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim dan Duta Malaysia ke Azerbaijan Datuk Ahmad Kamrizamil Mohd Riza semasa COP 29’s Green Energy Day.
Sumber: Malaysia Gazette
Comments