BEIJING: China melancarkan landasan kereta api berkelajuan tinggi pertamanya yang akan merentasi beberapa teluk serta menyusuri sepanjang pantai wilayah tenggara Fujian berhampiran Selat Taiwan, lapor media kerajaan hari ini.
Kereta api berkelajuan tinggi itu berlepas dari Fuzhou, ibu kota Fujian di Timur China hari ini dan membuka laluan kereta api Fuzhou-Xiamen-Zhangzhou sepanjang 277 kilometer (km), lapor Xinhua.
Ia adalah laluan rentas laut pertama China dengan kereta api berkelajuan tinggi itu akan melalui jambatan yang merentasi tiga teluk pantai dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 350 km sejam (km/j), kata media kerajaan, memetik China State Railway Group Co Ltd iaitu syarikat pengendali kereta api berkenaan.
Tempoh perjalanan dari hab ekonomi, Fuzhou ke Xiamen iaitu destinasi pelancongan popular di negara itu akan mengambil masa kurang satu jam.
China Railway Siyuan Survey and Design Group Co Ltd adalah syarikat yang mereka bentuk projek kereta api berkenaan.
Setakat 2022, China mempunyai kereta api berkelajuan tinggi yang beroperasi sepanjang 42,000 km serta kereta api berkelajuan tinggi yang beroperasi secara tetap tetap pada 350 km/j menghampiri 3,200 km pada Jun 2022.
China baru-baru ini mengumumkan perincian rancangannya untuk menjadikan Fujian sebagai zon untuk pembangunan bersepadu dengan Taiwan, yang terletak bertentangan dengan wilayah itu.
China berharap laluan itu akan meningkatkan peluang pelaburan dan memudahkan perjalanan. Seorang pegawai kerajaan China berkata rangkaian pengangkutan multidimensi bersepadu sudah dibina di Fujian yang "akan menjadikan ia secara teknikal untuk membina laluan pengangkutan berkelajuan tinggi yang menghubungkan wilayah itu dengan Taiwan," menurut media kerajaan.
Dalam perkembangan lain, awal minggu ini China melancarkan laluan monorel komersial pertamanya yang Wuhan, ibu kota wilayah Hubei.
Monorel itu meliputi laluan sepanjang 10.5 km secara sepenuhnya automatik sepenuhnya dan hanya memerlukan pengendalian manusia ketika kecemasan, lapor China Daily.
Sumber: Berita Harian
China lancar landasan kereta api berkelajuan tinggi merentas laut pertama
Comentários